KUALA LUMPUR 17 April - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Portal Baharu dan Aplikasi Mudah Alih, dan Portal Banci Ekonomi selari dengan usaha pemodenan dan inovasi berterusannya ke arah penyampaian perkhidmatan statistik berkesan yang mempunyai nilai tambah dalam sumbangan kepada perkhidmatan kerajaan.
Dalam kenyataan hari ini, katanya ia antara lain dilengkapi dengan platform moden berasaskan ciri-ciri portal yang menggunakan teknologi terkini, reka bentuk dan susun atur moden, minimalis dan kemas, dwibahasa dan menyokong keperluan kandungan dan fungsi DOSM seperti “stats release,” “student corner,” susun atur ergonomik dan mesra pengguna.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Portal Baharu dan Aplikasi Mudah Alih DOSM kali ini memperkenalkan ciri-ciri utama seperti “Fun With Statistics,” “Chat Bot,” Integrasi Tableau, “Table Builder,” Perkongsian Media Sosial, “Multi User CMS,” Analitik Kandungan dan “Data Mining.”
“Turut ditawarkan adalah inovasi perkhidmatan tambahan dengan ciri-ciri aplikasi mudah alih yang dibangunkan menggunakan teknologi dan platform “Google Flutter,” mudah digunakan dan mesra pengguna, memenuhi semua keperluan pengguna dengan dilengkapi versi aplikasi mudah alih di Applestore & playstore,” katanya dalam kenyataan sama.
Mohd Uzir berkata, buat pertama kalinya DOSM turut melancarkan Portal Banci Ekonomi dengan objektif utama sebagai platform penyampaian maklumat dan statistik berkaitan Banci Ekonomi 2023.
Menurut beliau, portal ini adalah gerbang utama berkonsepkan pusat sehenti bagi memudahkan pengguna terutamanya responden banci untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan pelaksanaan Banci Ekonomi 2023.
“Melalui portal ini, pengguna juga boleh mengakses papan pemuka data ekonomi (MyEase) yang meliputi data siri ekonomi bermula 2005 selain turut memaparkan laporan kemajuan pelaksanaan banci serta liputan berita dan media terkini berkaitan banci ekonomi,” katanya. - DagangNews.com