Dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai, 10 pegawai, anggota maut di lokasi kejadian | DagangNews Skip to main content

Dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai, 10 pegawai, anggota maut di lokasi kejadian

Helikopter HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala Fennec menjunam ke dalam kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

KUALA LUMPUR 23 April - Sepuluh pegawai dan anggota tentera laut terkorban selepas dua helikopter masing-masing jenis HOM dan Fennec bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi ini. 

 

Insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

 

Cawangan Komunikasi Strategik TLDM berkata, nahas jam 9.32 pagi itu membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM yang terhempas ketika menyertai raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.

 

bomba
Anggota bomba mengeluarkan juruterbang dan krew salah sebuah helikopter TLDM yang terlibat dalam nahas di TLDM Lumut./Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat

 

"Insiden ini membabitkan 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

 

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

 

"TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

bomba 2
Bomba menerima panggilan kecemasan nahas helikopter jam 9.50 pagi. /Gambar JBPM

 

Memetik laporan, kedua-dua helikopter tersebut berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.30 pagi sebelum helikopter HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala Fennec menjunam ke dalam kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

 

Difahamkan, helikopter HOM membawa tujuh kru manakala helikopter Fennec dinaiki tiga kru. 

 

tldm 2
Dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM di Lumut.

 

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-duanya terjunam.

 

Sementara itu, TLDM menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu.

 

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, penubuhan lembaga penyiasatan adalah satu keperluan bagi menjalankan siasatan dalam insiden sedemikian.

 

"Bila tragedi sebegini berlaku, kita memang berasa amat sedih. Ia satu (tragedi) yang amat malang," katanya kepada media dalam satu majlis di ibu negara hari ini.

 

bomba tldm
Bomba menggerakkan 21 anggota dari dua buah balai ke lokasi kejadian di Stadium TLDM Lumut./ Gambar JBPM

 

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 pagi membabitkan kemalangan helikopter yang berlaku di Stadium (TLDM) Lumut.

 

Menurut laporan Komander Operasi Kanan, TPgB II Suhaimy Mohd Suhail, pasukan Bomba daripada dua buah balai berhampiran iaitu BBP Seri Manjung dan BBP Sitiawan dengan 21 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS, kenderaan utiliti Toyota Hilux dan Perodua Kembara sebaik dihubungi.

 

bomba lumu
Kerja-kerja mengeluarkan kesemua 10 mangsa di lokasi kejadian telah dijalankan oleh pasukan Bomba. Gambar JBPM

 

"Dalam kejadian itu, terdapat 2 buah helikopter milik TLDM iaitu M502-6 (FENNEX), dinaiki oleh 3 orang mangsa dan M503-3 (HOM), dinaiki oleh 7 orang mangsa. Kesemua mangsa merupakan anggota dan pegawai TLDM.

 

"Kedua-dua helikopter ini telah bertembung ketika sedang melakukan latihan penerbangan. Kesemua 10 orang mangsa yang terlibat telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.

 

"Kerja-kerja untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat di lokasi kejadian telah dijalankan oleh pasukan Bomba sehingga selesai," ujarnya. - DagangNews.com