Dua pengarah eksekutif Minetech Resources letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Dua pengarah eksekutif Minetech Resources letak jawatan

KUALA LUMPUR 26 Jan - Minetech Resources Bhd mengumumkan perletakan jawatan dua pengarah eksekutif — Azlan Shah Zainal Arif dan Chin Leong Choy — daripada bilik lembaga pengarahnya.

 

Azlan, 42, dan Chin, 41, kedua-duanya meletak jawatan "untuk mengejar minat dalam bidang lain", menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas kemunculan Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari, anak kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, sebagai pemegang saham terbesar kumpulan itu.
 

wasiyyah

 


Pada 3 Januari lalu, syarikat pakar kejuruteraan awam, pengeluar produk bitumen dan pemain baru dalam ruang tenaga suria melantik Abang Abdillah Izzarim sebagai pengerusi eksekutif baharu syarikat itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Minetech Resources rombak lembaga pengarah, Abang Abdillah Izzarim kini pemegang saham terbesar hampir 17%

 

Pada 16 Jan, Minetech mengumumkan bahawa pengasas dan pengarah eksekutifnya Choy Sen @ Chin Kim Sang, 70, telah meletak jawatan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya.

 

Sementara itu, bekas pengerusi bukan eksekutif Minetech Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi, 40, telah dilantik semula sebagai pengarah eksekutif.

 

Syarikat itu juga telah melantik Emma Yazmeen Yip Mohd Jeffrey Yip, 29, sebagai pengarah eksekutif. Beliau kini adalah pengarah kewangan di ADAP Capital Sdn Bhd.

 

Saham dalam Minetech ditutup tidak berubah pada 15.5 sen, memberikannya permodalan pasaran RM266.69 juta.- DagangNews.com