KUALA LUMPUR 1 Sept - Pelancaran dua projek pelaburan mega kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion, menunjukkan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, sememangnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.
"Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana kuasa Pulau Bunting, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Projek itu berjaya menarik pelaburan RM14.4 bilion skali gus bakal meletakkan negeri itu sebagai hab serantau dalam industri petroleum.
Keputusan Kumpulan MMC mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini bakal mengubah landskap sosioekonomi penduduknya.
Sebelum itu, Perdana Menteri merasmikan Projek Strategik NCER - Rubber City bernilai RM10 bilion di Padang Terap.
Projek berkenaan bakal mewujudkan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang
2025.
Beliau memberitahu, kerajaan juga sedang mengkaji pembinaan sebuah pelabuhan agregat di kawasan Sanglang bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal selain laluan penghubung jambatan darat antara selatan Thailand dan Malaysia.
"Sekiranya menjadi realiti, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri Kedah termasuk
meningkatkan keyakinan pelabur menanam modal di negeri ini dan juga wilayah utara amnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memuji langkah yang diambil sektor swasta seperti Kumpulan MMC amat bermakna dalam membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara dan juga Keluarga Malaysia.
"Ini kerana sektor swasta berperanan menjadi enjin utama pertumbuhan untuk menggerakkan sektor ekonomi pasca pandemik supaya negara berada pada kedudukan atau mencapai prestasi lebih baik," jelasnya.
Menurut beliau, bagi memastikan pengeluaran hasil padi negara bertambah, pihak MMC turut membantu menaik taraf sistem perairan di kawasan tanaman padi.
"Hasilnya, kitaran penanaman padi akan ditingkatkan kepada lima kali dalam masa dua tahun berbanding empat kali sekarang," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, persatuan petani dan pesawah, MADA, BERNAS dan MMC juga bersedia untuk merealisasikan projek menaiktaraf sistem perairan ini, menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12. - DagangNews.com