Abang Johari mengumum Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021 pada sidang media khas jam 9 pagi tadi yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI.
KUCHING 5 Nov - Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November 2021, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media khas jam 9 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Utama, tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia (WBM) yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI.
Abang Johari berkata, adalah penting untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan bagi mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.
Beliau menyifatkan ia ``suatu pengkhianatan sekiranya kerajaan negeri terus digantung''.
Turut hadir pada sidang media khas itu ialah barisan pemimpin utama daripada setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Semalam media dimaklumkan berhubung sidang media hari ini, namun ia tidak memperincikan sama ada ia ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Namun media sejak awal lagi menjangka ia berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 negeri itu.
Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.
Bagaimanapun, tiada tarikh tertentu dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan.
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong. - DagangNews.com