Duopharma sumbang RM1 juta bantu rapatkan jurang pembelajaran digital | DagangNews Skip to main content

Duopharma sumbang RM1 juta bantu rapatkan jurang pembelajaran digital

WAKIL dari Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah mewakili Duopharma Biotech untuk menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yeong Chang di Batu Pahat, Johor.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai -  Syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan terkemuka, Duopharma Biotech Berhad telah menyumbangkan RM1 juta kepada program CERDIK, sebuah inisiatif kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.

 

Ini menyaksikan pemberian 646 peranti pintar seperti komputer riba beserta data untuk para pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, sememangnya ada hikmah di sebalik COVID-19, yang memberikan kesan positif dan negatif dari segi cara masyarakat bekerja, hidup dan belajar.

 

"Seperti mana yang ditunjukkan menerusi inisiatif CERDIK ini, usaha merapatkan jurang digital dan menggalakkan pembelajaran digital adalah di antara langkah-langkah pemangkin utama yang diperlukan untuk membina platform pembangunan bakat penting yang menyeluruh, yang akan membantu memacu pertumbuhan mampan negara menjadi ekonomi digital global.

 

"Oleh itu, Duopharma Biotech gembira kerana dapat menjadi salah satu daripada komponen utama dalam usaha padu menjayakan projek rintis ini bagi meningkatkan lagi akses digital dan pembelajaran jarak jauh jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga ke hari ini, hampir 69,000 peranti pintar telah diagihkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ke pelbagai Jabatan Pendidikan Negeri menerusi Yayasan Hasanah, dengan bakinya dijangka diagihkan secara berperingkat dan akan selesai menjelang penghujung September 2021.

 

Projek rintis ini telah dibiayai sepenuhnya melalui hasil sumbangan GLC dan GLIC serta syarikat-syarikat korporat, mengikut proses tadbir urus yang sewajarnya.

 

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari yang memainkan peranan sebagai Sekretariat Program CERDIK mengucapkan terima kasih kepada Duopharma Biotech atas sokongan mereka terhadap inisiatif CERDIK, yang merupakan salah satu daripada inisiatif rintis pembelajaran digital paling menyeluruh di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara.

 

"CERDIK menyediakan peranti pintar yang berkualiti dan diyakini untuk tujuan pembelajaran kepada para pelajar, dan disertakan dengan bantuan teknikal, penyambungan dan waranti.

 

"Walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan komputer riba berkualiti, namun inisiatif CERDIK ini berjaya menepati garis masa yang ditetapkan untuk menyerahkan peranti pintar berkenaan," katanya.

 

Diumumkan dalam Belanjawan Malaysia 2021, CERDIK adalah inisiatif rintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC dan GLIC, yang menyasarkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri mereka dengan normal baharu pembelajaran di dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain bentuk pembelajaran jarak jauh. - DagangNews.com