KUALA LUMPUR 26 April - Kerajaan mengenakan duti anti-lambakan mulai 24 April 2021 ke atas dagangan import keluli tahan karat gulungan sejuk dalam bentuk gegelung, kepingan atau apa-apa bentuk lain (dagangan subjek) yang berasal dari Indonesia dan Vietnam.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti bagi Indonesia ialah antara 8.8% ke 34.82% dan Vietnam antara 7.81% ke 23.84%.
"Kutipan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selama lima tahun mulai 24 April 2021 hingga 23 April 2026.
"Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara tersebut dijangka menangani isu berkaitan amalan perdagangan yang tidak adil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan telah memulakan penyiasatan pada 28 Julai 2020 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Bahru Stainless Sdn. Bhd (pempetisyen) sebagai industri tempatan tunggal yang mengeluarkan produk serupa.
Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual dalam pasaran domestik mereka dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia. - DagangNews.com