Duti eksais minuman bergula : CGS-CIMB jangka harga meningkat, jejaskan jualan produk pra-campuran | DagangNews Skip to main content

Duti eksais minuman bergula : CGS-CIMB jangka harga meningkat, jejaskan jualan produk pra-campuran

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Nov -  Pengumuman pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula termasuk minuman pracampuran 2-dalam-1 berkuatkuasa 1 April depan pada pembentangan Bajet 2022 dijangka menjejaskan jualan domestik bagi dua pemain utama segmen berkenaan.

 

Menurut CGS-CIMB, berdasarkan pemerhatiannya terhadap dua syarikat pengeluar utama produk minuman pracampuran, Nestle dan Power Root 50% daripada jualan domestik Power Root dan 25- 30% daripada jualan Nestle akan terjejas oleh pelaksanaan ini.

 

"Pada pandangan kami, pengeluar pracampuran berkemungkinan mengambil dua pendekatan untuk perkara ini iaitu menaikkan harga jualan mereka untuk melepaskan sepenuhnya cukai gula tambahan kepada pengguna, dan menggunakan kandungan gula yang rendah dalam produk mereka di bawah ambang eksais duti (<33.3g setiap 100g). 

 

"Semakan awal kami mendapati pengeluar F&B yakin mereka boleh mengurangkan kandungan gula di dalam produk tertentu dengan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) sambil mengekalkan rasa produk mereka.

 

"Sekiranya paras gula tidak dapat dikurangkan, mereka akan mengekalkan ketersediaan produk dengan harga jualan yang lebih tinggi atau melancarkan pilihan kandungan gula yang rendah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Dalam Bajet 2022, kerajaan mengumumkan bahawa duti eksais ke atas minuman bergula akan termasuk minuman penyediaan pracampuran (2-dalam-1 atau 3-dalam-1) berkuat kuasa 1 April 2022. 

 

Namun CGS- CIMB berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada ambang kandungan gula adalah termasuk gula asli iaitu maltosa dan laktosa atau gula tambahan semata-mata iaitu sukrosa.

 

"Kami menjangkakan harga jualan berkesan bagi setiap 1kg meningkat sebanyak RM4.70 atau 9.3-30.5% untuk produk dengan julat harga RM7.70 hingga RM32.90 untuk setiap minuman pracampuran yang mempunyai paras gula melebihi 33.3g untuk setiap 100g produk pra-campuran

 

"Pada pandangan kami, kenaikan harga adalah tinggi dengan andaian cukai gula telah diluluskan sepenuhnya, yang boleh menyebabkan jumlah jualan yang rendah disebabkan oleh kemampuan pengguna yang berkurangan," katanya. -DagangNews.Com