Duti eksais minuman bergula, unjuran untung bersih MSM disemak rendah - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Duti eksais minuman bergula, unjuran untung bersih MSM disemak rendah - AmInvestment

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 1 Nov - AmInvestment Bank Research menyemak semua unjuran untung bersih MSM Malaysia Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) berikutan cadangan kerajaan mengenakan duti eksais ke atas minuman bergula dalam Bajet 2022. 

 

Meskipun firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MSM Malaysia Bhd, tetapi ia menyemak semula nilai saksama lebih rendah kepada RM2.05 berbanding RM2.15 sebelum ini. 

 

Malah, penganalisisnya, Gan Huey Ling turut mengurangkan unjuran untung bersih MSM bagi FY22 sebanyak 4.4% setelah mengambil kira pertumbuhan jumlah yang lebih rendah. 

 

Bagaimanapun, tambahnya, kadar duti eksais ini dan nilai ambang paras gula dibenarkan tidak dinyatakan dalam bajet tersebut yang dibentangkan Jumaat lalu.

 

"Meskipun, kami berpendapat minuman gula pracampuran bukan pengguna utama bagi produk gula bertapis, tetapi kami tetap mengurangkan jumlah jualan MSM bagi FY22 menjadi lebih konservatif.

 

"Kami percaya, produk makanan seperti biskut dan minuman bukan pracampuran, menggunakan lebih banyak gula berbanding minuman pracampuran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam Bajet 2022, Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bahawa duti eksais ke atas minuman bergula akan termasuk minuman penyediaan pracampuran (2-dalam-1 atau 3-dalam-1) berkuat kuasa 1 April 2022.

 

Ketika ini, cukai gula dikenakan ialah 40 sen seliter bagi 2 kategori minuman. Bagi minuman bukan alkohol, nilai ambang ditambah paras gula adalah lebih daripada 5 gram per 100ml manakala bagi jus minuman pula, nilai ambang ditambah paras gula lebih daripada 12 gram per 100ml.

 

Huey Ling berkata, duti eksais yang dicadangkan itu akan menghasilkan rumusan semula minuman pracampuran oleh syarikat pengguna. 

 

"Untuk itu, syarikat pengguna dijangka mengekalkan paras gula dalam minuman pracampuran di bawah paras ambang supaya tidak dikenakan duti eksais ini," tambahnya. 

 

Menurutnya, cukai gula mula dilaksanakan pada 1 April 2019 dan ia tidak menjejaskan jumlah jualan MSM bagi FY19 dengan ketara.

 

Sebaliknya, ia meningkat 1.3% pada FY19 selepas susut 6.3% pada FY18, sebelum kembali melonjak 8.2% pada Fy20 didorong prestasi eksport yang kukuh.

 

Katanya, firma itu kini menjangkakan jumlah jualan MSM (exmolasses) akan meningkat sebanyak 4.5% pada FY22 berbanding unjuran sebelum ini, 5.5%.

 

"Malah, kami juga mengunjurkan jumlah jualan bagi produk bertapis dalam pasaran domestik akan meningkat 4% pada FY22 manakala jumlah jualan kepada segmen industri akan meningkat 5%. Jumlah eksport pula dijangka berkembang sebanyak 5% pada FY22," jelasnya. - DagangNews.com