Econpile raih manfaat besar menerusi perbelanjaan pembangunan lebih tinggi dalam Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

Econpile raih manfaat besar menerusi perbelanjaan pembangunan lebih tinggi dalam Bajet 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Malacca Securities yakin Econpile Holdings Berhad akan terus memanfaatkan kepakaran mereka sebagai pakar cerucuk dan substruktur untuk memanfaatkan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi yang diperuntukkan di bawah Bajet 2023. 

 

Firma itu berkata, projek infrastruktur berskala lebih besar bagaimanapun hanya boleh dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada awal 2023.

 

"Bagaimanapun industri pembinaan akan terus berdepan cabaran akibat kekurangan pekerja.

 

"Pengurangan kos bahan binaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini merupakan perkara positif kepada kontraktor terutama dalam melindungi margin keuntungan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih kontrak RM24.09 juta bagi menjalankan kerja-kerja substruktur bagi sebuah hospital swasta di Kota Bharu, Kelantan.

 

Hospital itu terdiri daripada blok hospital 12 tingkat dan blok tempat letak kereta 11 tingkat.

 

Kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn. Bhd., telah dianugerahkan kontrak itu oleh Pusat Perubatan Kota Bharu Sdn Bhd.

 

Selepas mengambil kira pertambahan projek berada dalam unjuran, firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan itu. 

 

Firma itu menaikkan penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) 15 sen.

 

Katanya, kumpulan itu bagaimanapun berdepan pelbagai risiko termasuk kadar pertambahan kontrak baharu yang lebih lemah.

 

"Harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kos buruh berpotensi mengurangkan margin dan sebaliknya.

 

"Kepantasan pelaksanaan projek juga boleh menentukan kecekapan kumpulan untuk menggunakan jentera sedia ada untuk projek masa hadapan," katanya. - DagangNews.com