ECRL: Kerajaan runding semula jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang | DagangNews Skip to main content

ECRL: Kerajaan runding semula jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang

PEMANDANGAN dari atas tapak pembinaan ECRL di Dungun, Terengganu pada 25 Julai 2019. ― Gambar Hari Anggara

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan akan melakukan rundingan semula dengan pihak kerajaan China dan kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung kos dan jadual projek membabitkan jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, langkah itu perlu dibuat susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menggantung jajaran asal Mentakab-Pelabuhan Klang yang melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

"Laluan asal Mentakab-Pelabuhan Klang ini sedang dikaji dan diperhalusi terutama laluan asal yang melalui Bentong, Gombak dan Pelabuhan Klang.

"Hasil rundingan dengan pihak-pihak berkenaan kemudian akan dibentangkan kepada kerajaan (kabinet) bagi memperoleh keputusan muktamad mengenai jajaran itu (sama ada akan mengikut laluan asal atau tidak)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Ismail Ibrahim berhubung perancangan kerajaan bagi menjajarkan semula laluan asal bahagian ECRL itu yang melalui Bentong, Gombak sehingga ke Pelabuhan Klang.

Hasbi menjelaskan cadangan asal projek ECRL pada 2018 itu mengambil kira pembinaan sistem landasan bagi tolok meter untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tolok standard bagi ECRL yang akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, stesen Serendah dikenal pasti sebagai stesen yang sesuai untuk pertukaran penumpang dan kargo antara KTMB dan ECRL.

"Menerusi kedua-dua perkhidmatan ini, ia secara tidak langsung akan dapat mengintegrasi serta meningkatkan jaringan rel antara negeri-negeri Pantai Timur dan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia," katanya.

Pentadbiran PH sebelum ini mengubah jajaran itu supaya tidak melalui Bentong dan Gombak yang bertujuan mengelakkan pembinanan terowong sepanjang 17.8 km yang melalui Ridge Quartz Klang Gates iaitu khazanah alam semula jadi rabung kuarza tulen.

Sebaliknya, jajaran yang bermula dari Mentakab itu akan menuju ke selatan iaitu melalui Kuala Klawang (Negeri Sembilan) sebelum memasuki Selangor melalui Bangi dan Kajang seterusnya menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang. - DagangNews.com