edotco, MET bekerjasama dalam Rangkaian Pemantauan Gas Rumah Hijau Negara | DagangNews Skip to main content

edotco, MET bekerjasama dalam Rangkaian Pemantauan Gas Rumah Hijau Negara

Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen bertukar dokumen memorandum persefahaman dengan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam satu majlis yang diadakan hari ini. 

 

 


KUALA LUMPUR 17 Nov – Edotco Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam kerjasama awam-swasta yang akan membentuk Rangkaian Pemantauan Gas Rumah Hijau Negara.

 

Menerusi kerjasama itu, edotco akan menyediakan akses tanpa sewa kepada MET dan penggunaan menaranya untuk memasang sistem pemantauan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

 

Untuk itu, edotco telah mengenal pasti menaranya di Gunung Brinchang, Cameron Highlands (Pahang); Gunung Raya, Langkawi (Kedah) dan Sabangkoi, Sarikei (Sarawak) bagi melaksanakan sistem pemantauan tersebut.

 

Pengarah Urusan edotco, Wan Zainal Adileen berkata, peluang untuk menyokong komitmen MET terhadap perkhidmatan klimatologi adalah sejajar dengan inisiatifnya untuk terus membawa impak positif kepada rakyat dan negara. 

 

"Kami gembira kerana infrastruktur kami dan lokasinya sesuai dan sempurna bagi memenuhi tujuan inisiatif global ini.

 

"Model perniagaan infrastruktur telekomunikasi kami sememangnya mesra alam kerana kami menggalakkan penempatan bersama peralatan dan bukannya struktur pengendali tunggal," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Tapak yang disediakan oleh edotco dapat meningkatkan kapasiti MET dan negara dalam bidang kajian GHG di samping memenuhi keperluan terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) WMO-GAW.

 

Ia membolehkan pengembangan rangkaian stesen pemantauan gas rumah hijau nasional ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak. 

 

Tiga tapak baharu ini, bersama Stesen Global GAW sedia ada di Lembah Danum, Sabah akan membentuk Rangkaian Pemantauan Gas Rumah Hijau Kebangsaan.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah MET, Muhammad Helmi Abdullah berkata, sokongan padu edotco dalam projek ini akan memberi impak yang besar terhadap sumbangan Malaysia dalam usaha menangani perubahan iklim di peringkat global.

 

"Dengan menyediakan menara telekomunikasinya kepada MET, edotco membantu dalam pemantauan dan pengumpulan set data penting untuk penyerahan Komunikasi Nasional (NC) yang komprehensif dan Laporan Kemas Kini Dwitahunan (BUR) Malaysia kepada UNFCCC," jelasnya.

 

Buat masa ini, pemasangan sistem pemantauan GHG sedang dijalankan dan pengumpulan data awal dijangka lengkap pada awal 2022. - DagangNews.com