Ekonomi halal perlu diangkat sebagai sistem berdaya saing, penyumbang ekonomi negara - PM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi halal perlu diangkat sebagai sistem berdaya saing, penyumbang ekonomi negara - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 30 Mei - Ekonomi halal perlu diangkat sebagai salah satu sistem yang berdaya saing dan penyumbang kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, selain itu, pasaran produk halal juga patut berkembang sehingga ke negara-negara bukan Islam.

 

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi membantu kerajaan menyediakan bantuan, manfaat, perkhidmatan dan program sosial yang terbaik kepada masyarakat, dan seterusnya membolehkan perancangan ekonomi lebih seimbang, adil dan membawa kemakmuran bersama.

 

"Prinsip halal bukan berkait dengan agama semata-mata, ia turut memberi pradigma baharu kepada isu lebih global seperti kelestarian ekonomi, kesedaran alam sekitar, keselamatan makanan dan kebajikan haiwan. Dalam konsep ekonomi, teori pembangunan sosial turut memberi penekanan kepada penggabungan dasar ekonomi dan kebajikan sosial dalam memanfaatkan kesejahteraan masyarakat. 

 

"Ekonomi Halal menggabungkan elemen keperluan agama dalam perniagaan dengan menekankan hubungan sesama manusia bersandarkan persaudaraan dan kesamaan, manakala harta dan segala sumbernya di muka bumi pula dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh Allah SWT," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2022 di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, industri produk halal di Malaysia ini mula diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian II, 1996-2005, dan diikuti pula Dasar Pertanian Negara Ketiga, 1998-2010. Industri ini dibangunkan kerana Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur dan kemahiran dalam teknologi pemprosesan. 

 

Beliau berkata, kepentingan industri halal ini turut dititikberatkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga, 2006-2020, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Pelan induk ini mempunyai teras strategik antara lainnya menjadikan Malaysia pusat serantau bagi produk dan perkhidmatan halal seperti produk farmaseutikal, peralatan perubatan, pemprosesan makanan, tekstil dan pakaian. Isu halal bukan sahaja dipandang daripada isu keagamaan, malah menjadi satu gaya hidup dan jaminan kualiti sesebuah negara. 

 

"Di Malaysia, tanggungjawab, peraturan dan pemasaran halal terletak di bawah kuasa badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC), dan Majlis Agama Islam Negeri. Sekali lagi suka saya nyatakan di sini, HDC yang dilancar pada September 2006 juga hasil daripada aspirasi Tun Abdullah. 

 

"Agensi kerajaan ini menerajui pembangunan industri halal dengan turut menetapkan standard halal, proses audit untuk melindungi integriti halal serta menyelaras pembangunan industri halal Malaysia di sektor awam dan swasta. Perkembangan ini menyaksikan Malaysia menjadi rujukan sebagai model halal hub global. Pembangunan ekosistem halal komprehensif menjadikannya sumber baharu pendapatan negara," katanya.

 

Beliau berkata, kepakaran dan keilmuannya dalam pensijilan halal diiktiraf kuasa ekonomi dunia seperti China, Jepun, Australia, Korea Selatan dan beberapa buah negara Islam lain seperti Indonesia, Turki, UAE dan Bosnia. 

 

Katanya, segala usaha yang dilakukan juga selaras dengan Program Pelan Induk Industri Halal (HIMP 1.0) (2008-2020), HIMP 2.0 (2019-2030) serta Program Pembangunan Strategik Industri Halal yang bertujuan menjadikan negara sebagai pemimpin halal global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, prinsip halal ini tidak tertumpu kepada kandungan barangan tetapi juga keselamatan pengguna daripada segi kandungan, hubungan dengan alam sekitar dan etika dengan haiwan. 

 

"Tidak menghairankan, makanan yang memenuhi prinsip halalan toyyiban menjadi pilihan utama kerana kualitinya diakui bersih, selamat dan bersifat universal. Kita tahu bahawa halal bermaksud ‘dibolehkan’ manakala toyyiban pula bermaksud ‘baik’ dan ‘bermanfaat’ bukan hanya aspek fizikal tetapi juga rohani. 

 

"Konsep Halalan Toyyiban disokong oleh falsafah asas Maqasid Syariah yang melindungi kebajikan manusia daripada sebarang kemudaratan. Selain itu, falsafah kepenggunaan konsep halal dan baik datangnya daripada makanan yg bersih, suci kaedah perolehannya serta bebas dari kemudharatan.

 

"Sesungguhnya, konsep halal ini tidak tertumpu kepada orang Islam semata-mata tetapi juga terpakai untuk masyarakat am kerana sesuatu yang baik menjadi keperluan setiap individu. Jika dilihat dari sudut pandangan Islam pula, halal mendatangkan kesan positif dalam semua aspek, manakala daripada sektor ekonomi pula ia menyaksikan perkembangan pesat industri makanan halal di serata 
dunia," katanya.

 

Tambah beliau, Industri Ekonomi Halal perlu dilihat daripada perspektif agama dan ekonomi. Bezanya Islam dengan agama lain terletak pada kaedah penyerahan diri yang dilakukan agama masing-masing sebagai bukti keimanan dan kepercayaan kepada Tuhan.

 

"Ini kerana dalam pembangunan Islam, setiap perkara dinilai dengan keadilan, mematuhi garis panduan syariat Islam, menjaga keharmonian masyarakat dan menegakkan amar ma’aruf nahi mungkar. 

 

"Dalam industri halal pula, masyarakat berhak mendapat sesuatu yang baik, suci lagi selamat berdasarkan garis panduan ditetapkan Islam demi menjaga kesejahteraan umat-Nya. Ini termasuk status halalnya makanan, sumber yang diperoleh serta kesan makanan tersebut kepada kesihatan," katanya. - DagangNews.com