Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada Q4 - SERC | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada Q4 - SERC

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Malaysia diunjur mencatatkan perkembangan ekonomi yang lebih baik pada suku keempat tahun 2021 (4Q21) dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Bagaimanapun, negara mungkin merekodkan penurunan KDNK ketara pada 3Q21 berdasarkan petunjuk ekonomi negara susulan daripada penguatkuasaan sekatan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19. 

 

Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre (SERC), Lee Heng Guie berkata, indikator ekonomi itu meliputi eksport negara, output perindustrian, jualan borong dan runcit, permintaan pinjaman bank dan prestasi perbelanjaan pengguna bagi tempoh Julai dan Ogos.

 

Lee Heng Guie
Lee Heng Guie

 

“Petunjuk mendapati output ekonomi secara keseluruhannya, yang diukur oleh KDNK mungkin lemah atau merosot pada 3Q21 sebelum memulih kepada pertumbuhan positif pada 4Q21. 

 

“Walaupun kadar vaksinasi yang meningkat akan menyokong aktiviti untuk kembali normal, namun risiko virus masih ada serta memberi ancaman kepada kehidupan dan ekonomi, seterusnya langkah mengurangkan dan mengawai pandemik termasuk prosedur operasi standard (SOP) perlu dikuatkuasakan bagi memastikan ekonomi dan perniagaan hidup semula,” katanya dalam satu taklimat media, seperti dilaporkan The Edge.

 

SERC masih mengekalkan unjuran KDNK Malaysia bagi tahun ini pada 4%. 

 

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan unjuran rasmi bagi KDNK Malaysia untuk tahun 2021, yang disemak turun antara 3% dan 4%. 

 

Dalam masa sama, Heng Guie juga tidak menolak kemungkinan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% sehingga pertengahan 2022 untuk membantu pemulihan permintaan domestik yang lebih kukuh.

 

Katanya, keadaan persekitaran kadar faedah yang rendah melengkapkan sokongan fiskal bersasar untuk memastikan ekonomi Malaysia di landasan pemulihan. 

 

Kali terakhir BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR adalah pada Julai 2020, yang menyaksikan pemotongan 25 bps kepada 1.75%.

 

Ekonomi Malaysia pula berkembang dengan lebih pantas pada 2Q21, meningkat 16.1% dari segi KDNK berbanding tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com