Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan 16.1% yang dicatatkan suku sebelumnya.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, penguncupan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada bulan Julai, di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Jelasnya, pada suku ketiga 2020, pertumbuhan (KDNK) Malaysia ialah pada -2.7 peratus. 

 

"Kegiatan ekonomi kemudiannya meningkat apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua dengan beberapa langkah pembendungan telah dilonggarkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah bank pusat itu, dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan penguncupan dengan sektor pembinaan mencatatkan penguncupan terbesar disebabkan oleh kapasiti operasi yang terhad. 

 

"Dari segi perbelanjaan, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1% berbanding 12.4% pada suku kedua 2021 disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta. 

 

"Namun begitu, perbelanjaan penggunaan sektor awam yang terus meningkat telah memberikan sokongan kepada pertumbuhan," katanya.

 

Sementara itu Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah berkata kelonggaran langkah-langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan. 

 

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan kemerosotan sebanyak 3.6% berbanding suku kedua 1.9%.

 

Menjelang tahun 2022, Nor Shamsiah menjelaskan, trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran. 

 

"Kemajuan dan keberkesanan pemberian vaksin, pematuhan kepada Standard Operating Procedures (SOPs) serta keupayaan untuk membendung penularan wabak dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu COVID-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci penting kepada pemulihan yang dihasratkan," katanya.   -DagangNews.Com