Ekonomi negara dijangka berkembang hingga 8% pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara dijangka berkembang hingga 8% pada 2021

MALAYSIA

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Prestasi ekonomi negara dijangka akan berkembang sekitar 5.5% hingga 8% pada tahun 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penilaian tersebut dibuat selepas melihat perkembangan ekonomi semasa yang dijangka pulih secara beransur-ansur terutamanya pada separuh kedua 2020.

"Antara indikator yang membuktikan ekonomi sedang pulih ialah eksport negara berkembang, indeks pengeluaran perindustrian meningkat, nilai jualan runcit dan borong meningkat serta kadar pengangguran menurun.

"Manakala pada 2021, ekonomi dijangka pulih dan berkembang sekitar 5.5% hingga 8%," katanya dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementera bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020, di Dewan Rakyat hari ini.

Zafrul Tengku Abdul Aziz
Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

Perkara tersebut dibentangkan bagi menjelaskan prestasi dan kedudukan ekonomi negara berikutan impak COVID-19.

Jelas beliau lagi, pertumbuhan lebih baik terhadap ekonomi negara turut dinilai oleh agensi di peringkat antarabangsa.

"Agensi antarabangsa turut mengunjurkan pertumbuhan sekitar 6.3% hingga 6.9% pada tahun 2021.

"Pemulihan ekonomi negara adalah kukuh dan sejajar dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi melalui pelaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan)," tambahnya.

Ujar beliau, prestasi itu sekali gus membuktikan kepekaan kerajaan terhadap keperluan rakyat dan ekonomi dalam menghadapi situasi mencabar hari ini.

Selain itu, kerajaan juga akan terus memantau perkembangan tersebut dan membuat semakan semula terhadap unjuran Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) menjelang Belanjawan 2021. - DagangNews.com