Ekonomi suku pertama menguncup 0.5% akibat PKP 2.0 | DagangNews Skip to main content

Ekonomi suku pertama menguncup 0.5% akibat PKP 2.0

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini menguncup dalam kadar yang kecil pada -0.5% di sebalik pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Bagaimanapun, pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding -3.4% bagi suku keempat 2020. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah berkata, prestasi keseluruhan yang lebih baik ini mencerminkan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan eksport negara yang kukuh.

 

Katanya, prestasi pertumbuhan disokong terutama oleh kekukuhan permintaan luar negeri yang mendorong keteguhan eksport untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) di samping langkah-langkah dasar yang berterusan. 

 

"Bagaimanapun, pelaksanaan PKP 2.0 serta penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan antara negeri secara berterusan telah menjejaskan kegiatan ekonomi. 

 

"Namun begitu, apabila sekatan dilonggarkan pada Februari dan Mac, kegiatan ekonomi mula meningkat secara beransur-ansur," katanya dalam kenyataan. 

 

Beliau berkata demikian selepas membentangkan prestasi ekonomi suku pertama 2021 secara maya hari ini.

 

Pada suku tersebut, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan, terutamanya sektor perkilangan. 

 

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih baik dan eksport yang kukuh. 

 

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7% berbanding suku sebelumnya, -1.5%.

 

Menurut Shamsiah, inflasi keseluruhan menjadi positif kepada 0.5% pada suku pertama (berbanding -1.5% pada suku keempat 2020).

 

Katanya, peningkatan ini disebabkan oleh inflasi bahan api yang positif meskipun rendah berikutan kesan asas, serta luputnya kesan daripada rebat tarif eletrik secara bertingkat yang dilaksanakan antara April hingga Disember 2020. 

 

"Inflasi teras menjadi sederhana kepada 0.7%, mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah untuk sewa dan barang kemas," katanya.

 

Bagi perkembangan kadar pertukaran, ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama 2021. 

 

Penyusutan ini disebabkan pengukuhan dolar AS, yang juga mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun secara umumnya menjadi semakin lemah. 

 

"Hal ini disebabkan oleh tindakan pelabur global yang mengimbangi semula pelaburan portfolio mereka berikutan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS, yang didorong oleh prospek pemulihan ekonomi AS yang bertambah kukuh dan jangkaan inflasi yang lebih tinggi," jelas beliau.

 

Sejak 1 April, ringgit telah menambah nilai sebanyak 1% berbanding dolar AS (setakat 7 Mei). 

 

Pertambahan nilai ini adalah sejajar dengan penurunan nilai dolar AS apabila kadar hasil Perbendaharaan AS mula menunjukkan trend menurun daripada paras tertinggi pada Mac. 

 

Kenaikan harga minyak dunia pada awal April juga memberikan sedikit sokongan kepada sentimen pelabur secara keseluruhan. 

 

"Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara," tambahnya.

 

Dalam pada itu, pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7%1  pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi sebanyak 4.3%.

 

Pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman perniagaan kekal melebihi paras purata suku tahunan pada  2017 hingga 2019. 

 

Permintaan pinjaman isi rumah juga kekal menggalakkan berikutan persekitaran dasar monetari yang akomodatif dan pelaksanaan pelbagai langkah rangsangan. - DagangNews.com