KUALA LUMPUR 4 April - Kenyataan Isu (SOI) yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada Celcom Axiata Bhd. dan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. berkemungkinan akan melambatkan proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) kedua-dua syarikat, menurut RHB Research.
Sebelum ini, cadangan M&A tersebut dijangka dapat diselesaikan pada akhir suku kedua 2022.
Pada Jumaat lalu, SOI itu dikeluarkan mengikut Garis Panduan bagi Penggabungan dan Pengambilalihan yang mengandungi pandangan awal SKMM mengenai kesan persaingan yang mungkin timbul daripada cadangan penggabungan itu, dan mempelawa Digi dan Celcom sebagai pemohon untuk mengemukakan ulasan, maklumat dan remedi mengenai penilaiannya.
Celcom dan Digi diminta untuk menangani kebimbangan persaingan awal secara bersama bagi seluruh bidang pasaran yang dinyatakan dan bertindak balas terhadap cadangan remedi yang sesuai yang disediakan dalam SOI.
Penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan berkata, SOI secara dasarnya, bermakna pengawal selia mencapai pandangan bahawa ia berkemungkinan mengeluarkan keputusan yang tidak menguntungkan tetapi menyimpan keputusan muktamadnya sementara menunggu maklum balas dan input daripada syarikat telekomunikasi mengenai perkara yang dibangkitkan.
Katanya, keputusan itu kini terletak di tangan kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan dalam tempoh 30 hari.
"Kami berpendapat, SOI ini mungkin mencetuskan kebimbangan baharu terhadap pelaksanaan penggabungan ini.
"Perkembangan itu juga telah mengejutkan pasaran, kerana pengurusan Axiata Group Bhd. dan Digi.Com Bhd. telah menyatakan sebelum ini (semasa pembentangan dan taklimat laporan kewangan mereka) bahawa proses integrasi sedang berjalan seperti dirancang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Celcom adalah unit operasi Axiata manakala Digi merupakan anak syarikat Digi.Com.
Pada Jun 2021, Axiata, Telenor Asia Pte Ltd. dan Digi.Com memuktamadkan kajian daya maju pelaburan dan memeterai perjanjian transaksi bagi pelaksanaan cadangan penggabungan Celcom dan Digi (MergeCo).
Berdasarkan asas proforma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.
Tan menjelaskan, pengawal selia boleh mengeluarkan notis tiada bantahan jika ia berpuas hati bahawa penggabungan itu tidak memberi kesan dari segi pengurangan persaingan dalam pasaran dengan ketara atau menimbulkan kedudukan dominan.
"Walaupun terdapat kemungkinan bahawa pandangan berbeza pendapat mungkin dikeluarkan (notis bantahan), tetapi kami berpendapat risikonya adalah rendah.
"Ini memandangkan pengawal selia sebelum ini mengekalkan pendirian akomodatif terhadap penyatuan pasaran dan meningkatkan penggabungan," jelasnya.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan risiko utama bergantung kepada keputusan yang tidak menguntungkan oleh pengawal selia.
Setakat 9.40 pagi, harga saham Digi.Com menokok 3 sen atau 0.77% kepada RM3.93 manakala Axiata susut 2 sen atau 0.53% kepada RM3.77. - DagangNews.com