KUALA LUMPUR 30 Nov - Malaysia dan India mengkukuhkan lagi hubungan bilateral pertahanan apabila melaksanakan Eksesais Harimau Shakti 2022 melibatkan tentera darat kedua-dua negara.
Harimau Shakti merupakan latihan tahunan bersama tentera darat Malaysia-India yang mula diadakan pada tahun 2012.
Eksesais selama dua minggu bermula semalam itu diadakan di Pulai, Kluang dan kawasan sekitarnya.
Difahamkan eksesais ini membabitkan pasukan daripada Briged Ketujuh Infantri Tentera Darat dan trup dari Garhwal Rifles Regiment.
Latihan ini lebih tertumpu kepada operasi melawan insurgensi dalam situasi hutan membabitkan atur gerak kedua-dua pasukan.
Eksesais itu juga secara tidak langsung membuka ruang kepada kedua-dua pasukan menguji fungsi kawalan pemerintahan pada peringkat batalion dan kompeni infantri.
Kedua-dua negara memiliki sejarah ketenteraan secara bersama bermula semasa era kolonial, Perang Dunia Kedua hinggalah pada hari ini.
Malaysia juga banyak menimba kemahiran daripada India khususnya dari segi pengoperasian beberapa jenis aset hampir sama seperti pesawat MiG-29N dan Sukhoi Su-30MKM.
Seperti Malaysia, India juga mengoperasikan kapal selam jenis Scorpene yang mana empat daripada enam buah telah diterima.
Pada Ogos lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Eksesais Udara Shakti 2022 dengan Tentera Udara India (IAF) melibatkan ruang udara Kuantan.
Ini merupakan latihan udara yang pertama kali diadakan bagi kedua-dua negara.
Eksesais ini melibatkan empat buah pesawat Sukhoi-30MKI dan dua pesawat C17 dari IAF manakala TUDM dengan empat buah Sukhoi SU-30MKM dan sebuah pesawat A400M.
India menerusi Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) ketika ini bersaing untuk menjual 18 pesawat tempur ringan (LCA) Tejas kepada Malaysia bagi Program LCA TUDM.
Firma itu juga telah membuka pejabat operasinya di Malaysia bagi membantu memudahkan pemberian keperluan lain kepada TUDM seperti menaik taraf pesawat Sukhoi Su-30MKM dan Hawk. - DagangNews.com