[EKSKLUSIF] Automasi perbankan miliki potensi pasaran tinggi - Red Hat | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Automasi perbankan miliki potensi pasaran tinggi - Red Hat

Benjamin Henshall

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Sektor perbankan menjadi teras dan tunjang kepada peralihan digital dalam operasi perniagaan terutamanya industri perkhidmatan kewangan. 

 

Di pasaran ASEAN, syarikat perisian, Red Hat melihat bank-bank di Malaysia berinovasi, tetapi masih terdapat banyak potensi untuk dipertingkatkan berbanding negara-negara serantau. 

 

Pengurus Besar Red Hat Asia Tenggara, Benjamin Henshall berkata, menerusi adaptasi penyelesaian inovatif seperti sumber terbuka (open source), organisasi kewangan akan menjadi lebih cekap untuk memenuhi permintaan pasaran. 

 

Beliau melihat terdapat potensi pasaran tinggi apabila melibatkan bank dan automasi yang menawarkan lebih kawalan ke atas kualiti dan kerah tugas (deployment) selain mengurangkan kesalahan yang dilakukan di bawah kapasiti manusia. 

 

Di ASEAN khususnya, bank-bank yang ada sekarang dicabar oleh peserta Fintech untuk menjadi tonggak dan lebih cekap serta mesra pengguna. Ini hanya dipercepatkan oleh situasi pandemik global semasa. 

 

“Bank-bank yang mahu bertahan sehingga masa hadapan tidak boleh melaksanakan strategi asli digital mereka menggunakan teknologi yang tertutup, hak milik dan tidak dikhususkan untuk sistem awan (cloud).

 

"Harapan pengguna mula berubah, iaitu mereka mahukan ‘lebih banyak perbankan, kurangkan bank’ di mana dapat menawarkan kebebasan mengakses pada bila-bila masa dan tidak mengira tempat"

 

“Di Indonesia dan Thailand yang mempunyai penduduk luar bandar lebih besar, dalam situasi tertentu, sumber terbuka menyokong jangkauan bagi mereka yang tidak mempunyai akses ke kemudahan perbankan fizikal,” katanya kepada DagangNews.com

 

Bagi Henshall, kematangan digital terus berbeza di seluruh bank-bank Malaysia, tetapi beliau melihat terdapat keinginan untuk bukan hanya melaksanakan, tetapi mempercepat rancangan transformasi digital mereka pada 2020 dalam menawarkan perkhidmatan lebih baik. 

 

Mengambil contoh AmBank dan Hong Leong Bank, Henshall berkata, kedua-dua institusi itu mengadaptasi teknologi digital dan sumber terbuka dalam mencapai sasaran masing-masing. 

 

Bagi mengekalkan daya saingnya di ruang perbankan digital yang pesat, AmBank memutuskan untuk membuat aplikasi menyeluruh bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan secara digital, jelas Henshall yang turut menggesa bank-bank untuk mewujudkan infrastruktur IT dalam sumber terbuka dan selamat.

 

“Sementara itu, dengan melancarkan penyelesaian Red Hat, Hong Leong berjaya meningkatkan keupayaan perkembangan yang pesat sekali gus merendahkan perbelanjaan modal sekurang-kurangnya 40%,” tambahnya.

 

Apabila pemain industri mengoptimumkan proses mereka ke arah sumber terbuka, bank-bank dapat mencapai kecekapan operasi dan meraih aliran pendapatan baharu.

 

Henshall tidak menafikan bahawa harapan pengguna mula berubah, iaitu mereka mahukan ‘lebih banyak perbankan, kurangkan bank’ di mana dapat menawarkan kebebasan mengakses pada bila-bila masa dan tidak mengira tempat. 

 

“Bagi memenuhi permintaan itu, teknologi sumber terbuka Red Hat membantu bank untuk menyampaikan prestasi infrastruktur tinggi yang diperlukan dalam industri perkhidmatan kewangan di mana peluang selalunya berkembang lebih pesat daripada bajet IT,” katanya lagi.

 

Peralihan digital dalam sektor bank ketika COVID-19

 

COVID-19 memaksa pemain industri untuk menilai semula keutamaan dan strategi mereka terutamanya melibatkan perubahan besar dalam organisasi apabila pekerja perlu beroperasi dari rumah. 

 

Henshall berkata, krisis ini memerlukan banyak organisasi untuk meningkatkan kapasiti dan mengubah beberapa keadaan untuk membolehkan pekerja beroperasi dari rumah dan meningkatkan permintaan perkhidmatan.

 

"Adaptasi sumber terbuka bukan sahaja mengukuhkan asas bank untuk berinovasi, tetapi menawarkan scalability dan kebolehsesuaian"

 

“Sebagai contoh, cawangan Alliance Bank di seluruh negara dilengkapkan dengan penyelesaian tablet. Kerjasama dengan Red Hat membantu Alliance untuk memenuhi perkhidmatannya kepada pelanggan.

 

“Adaptasi sumber terbuka bukan sahaja mengukuhkan asas bank untuk berinovasi, tetapi menawarkan scalability dan kebolehsesuaian organisasi terutama apabila kita bergerak menjangkaui pemulihan COVID-19 dan memasuki era baharu perbankan,” jelasnya. 

 

Belanjawan 2021 pacu pertumbuhan digital bank

 

Mengulas mengenai peruntukan digital dalam Belanjawan 2021, Red Hat menyambut baik usaha kerajaan untuk terus mengiktiraf keperluan ketahanan digital memasuki tahun 2021. 

 

Jelas Henshall, inisiatif seperti Dana Transformation Pendigitalan Industri (IDTF) dapat membantu perusahaan-perusahaan untuk berkembang dalam ekonomi digital.

 

“Dalam masa sama, Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital yang dikemas kini oleh Bank Negara malaysia (BNM) membuka laluan untuk pemain industri perkhidmatan kewangan mempercepat matlamat transformasi mereka,” ujar Henshall. - DagangNews.com