[EKSKLUSIF] Yoodo beri komitmen capaian 5G Malaysia | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Yoodo beri komitmen capaian 5G Malaysia

Yoodo

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Penyedia perkhidmatan mudah alih digital, Yoodo menunjukkan komitmen dalam menyambut kehadiran rangkaian 5G yang disasarkan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

 

Komitmen tersebut diserlahkan dengan kerjasama yang digiatkan bersama Celcom bagi mencapai projek Jendela.

 

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, pihaknya menyokong penuh usaha dalam pengembangan 4G dan mencapai 5G seiring dengan perubahan norma baharu yang mendorong peningkatan penggunaan internet dalam kalangan pengguna.

 

Chow Tuck Mun
Chow Tuck Mun

 

"Jendela bertujuan mempersiapkan negara secara berperingkat untuk kedatangan 5G, di mana ia bermula dengan pengembangan liputan jalur lebar mudah alih 4G sepenuhnya daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk ramai. 

 

"Yoodo menyokong penuh usaha-usaha ini kerana kami percaya bahawa ketersambungan adalah amat penting, terutamanya dalam norma baharu ini di mana ramai rakyat Malaysia bergantung kepada internet untuk bekerja, belajar dan sebagainya. 

 

"Pada masa ini, kami bekerjasama rapat dengan Celcom mengenai projek Jendela. Kami juga merancang cara terbaik untuk membantu pelanggan kami beralih kepada 4G kerana kerajaan akan menghentikan rangkaian 3G pada akhir 2021," jelasnya kepada DagangNews.com dalam satu wawancara eksklusif.

 

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tinjauan yang diterbitkan pada 2019, sebanyak 25.9% daripada penduduk tempatan tidak menggunakan telefon pintar. 

 

Menyedari keadaan itu, Yoodo turut memberi komitmen dalam memastikan penggunanya bersedia untuk menempuhi perubahan tersebut.

 

Yoodo

 

Ujar beliau, pihaknya sedia membantu orang ramai untuk menikmati kemudahan rangkaian telekomunikasi baharu.

 

"Kami akan membantu seboleh mungkin agar rakyat Malaysia dapat menikmati ketersambungan telekomunikasi yang lancar melalui teknologi baharu," jelasnya.

 

Ditanya berkaitan kelebihan Yoodo yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga yang terkesan oleh wabak, beliau memberitahu, pihaknya menawarkan akses internet yang pantas seiring dengan keperluan dan perubahan para peniaga ke arah dunia digital.

 

Jelasnya, pandemik COVID-19 mengubah landskap perniagaan para peniaga dengan beralih kepada media sosial atau platform digital untuk mempromosikan produk dan melebarkan lagi sayap perniagaan.

 

Perniagaan kecil khususnya telah memilih cara pendigitalan yang lebih untuk terus menjual produk serta mengharungi cabaran yang dihadapi untuk terus bertahan. 

 

"Dalam situasi ini, adalah sangat penting mempunyai akses internet yang pantas, dan inilah yang kami tawarkan. Kami menyediakan salah satu perkhidmatan mudah alih dengan harga yang berpatutan. Dengan harga serendah RM12 sebulan, peniaga boleh mengakses atau melayari internet dengan Yoodo.

 

"Struktur pelan mudah alih kami yang sedia ada membolehkan pengguna membayar untuk hanya apa yang mereka perlukan, bermakna pemilik perniagaan boleh memilih pelan yang menawarkan jumlah data atau minit panggilan yang tinggi, dan hanya membayar untuk apa yang mereka benar-benar perlukan," jelasnya lagi.

 

Pelan yang ditawarkan itu diharap untuk membantu peniaga untuk mendepani situasi semasa pandemik COVID-19. - DagangNews.com