Ekuinas peroleh 80% kepentingan syarikat pengeluar bahan famaseutikal, Symbiotica | DagangNews Skip to main content

Ekuinas peroleh 80% kepentingan syarikat pengeluar bahan famaseutikal, Symbiotica

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memperoleh 80% kepentingan dalam Symbiotica Specialty Ingredients Sdn Bhd (Symbiotica), pengeluar bahan farmaseutikal aktif (API) tempatan yang terkemuka di Asia Tenggara (SEA).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, industri farmaseutikal merupakan penyumbang ekonomi yang ketara dengan potensi pertumbuhan yang luar biasa. 

 

Katanya, API dikenal pasti sebagai segmen pertumbuhan utama bagi sektor farmaseutikal dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

Pasaran kortikosteroid, hormon steroid dan API bukan steroid dianggarkan bernilai AS$36 bilion pada 2023 dan diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 6.7% menjelang 2027.

 

"Setelah mencapai pertumbuhan progresif dan konsisten sepanjang dua dekad yang lalu, dan menjadi pembekal API yang diperakui, Symbiotica ,antara pengeluar API terbesar di SEA, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan arah aliran makro yang memacu pertumbuhan masa hadapan dalam sektor ini.

 

ekuinas
Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir

 

"Terdapat strategi yang jelas dan kami berharap dapat membawa syarikat itu ke tahap pertumbuhan seterusnya dan menyumbang kepada kemajuan lebih luas sektor farmaseutikal Malaysia sebagai syarikat API terkemuka di SEA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Syed Yasir Arafat berkata, pengambilalihan itu merupakan pelaburan ketiga Ekuinas dalam sektor farmaseutikal.

 

Beliau berkata, portfolio semasa syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian itu termasuk Medispec (M) Sdn Bhd dan Eagle Cliffe Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Symbiotica, Ajoy Prabhu berkata, Ekuinas membawa nilai tambah kepada Symbiotica daripada pengalamannya dalam mengembangkan operasi.

 

"Kami berharap dapat menyepadukan sifat positif kami bagi memanfaatkan peluang pasaran di peringkat antarabangsa, serantau dan domestik, mengukuhkan kelebihan dan kepimpinan kami dalam segmen API," katanya.

 

Ditubuhkan pada 2001, Symbiotica berpangkalan di Seberang Perai, Pulau Pinang, dengan kemudahan pembuatan di Kulim, Kedah. syarikat itu memiliki kepakaran dalam pembuatan API hormon kortikosteroid dan steroid. - DagangNews.com