Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula tindakan menggugurkan dan memotong elaun atlet kerana ia lebih rendah daripada had penetapan gaji minum yang ditetapkan kerajaan.
Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ekoran pemotongan elaun berkenaan menyebabkan mereka berada dalam kelompok B40 selain bercanggah dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan tahun lalu.
Beliau berkata, alasan bahawa dana yang digunakan untuk membayar elaun atlet digunakan untuk tujuan pembiayaan mangsa banjir adalah tidak boleh diterima kerana sukan merupakan bidang yang memerlukan pelaburan serta pengurusan jangka panjang untuk melahirkan juara di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
"Kita perlu sedar bahawa walaupun atlet menerima elaun semata-mata namun sepanjang mereka berada dalam tempoh latihan ia merupakan satu bentuk kerjaya yang perlu diberikan perhatian.
"Pemotongan elaun dan tindakan menggugurkan atlet tidak wajar dan bukan satu tindakan berintegriti.
"Kami berharap agar kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dapat memberikan arahan agar KBS mengkaji semula tindakan memotong elaun dan menggugurkan atlet," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilaporkan berkata, secara keseluruhan sebanyak RM27.5 juta peruntukan disediakan bagi membiayai program latihan atlet bagi tahun ini.
Susulan peruntukan kewangan yang terhad itu, MSN terpaksa mengurangkan penyertaan atlet dalam program latihan tahun ini dengan hanya 248 ditawarkan kontrak baharu berbanding 432 tahun lalu.
Bagi atlet para pula, sebanyak 45 atlet dipilih meneruskan program tahun ini berbanding 114 pada tahun lalu manakala sebanyak 178 atlet pelapis ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 tahun lalu dan 22 bagi atlet pelapis para.
Malah, MSN terpaksa melakukan penstrukturan semula skim bayaran elaun bagi atlet yang ditawarkan kontrak baharu untuk mengikuti program latihan tahun ini, susulan peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.
Bagi atlet yang memenangi emas Sukan SEA/Para ASEAN, mereka akan menerima bayaran elaun sebanyak RM2,000 manakala RM800 bagi perak dan gangsa.
Untuk temasya Sukan Komanwel dan Asia/Para Asia, pemenang emas akan menerima RM4,500 manakala perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.
Pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik pula akan menerima bayaran elaun RM7,500 manakala perak RM7,000 dan gangsa RM6,500. - DagangNews.com