KUALA LUMPUR 9 Sept - Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kerajaan Malaysia #KeluargaMalaysia, Element X Strategies dengan kerjasama Omnia Media Prima buat pertama kalinya melancarkan acara Festival F3 2022 yang merangkumi Fesyen, Makanan dan Keluarga.
Festival tersebut akan diadakan dari 9 September hingga 11 September 2022 di Dewan 1, Pusat Pameran Mid Valley di sini bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam.
Selaris dengan visi ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, F3 Festival 2022 bertujuan untuk membawa semangat kekeluargaan rakyat Malaysia melalui makanan dan fesyen dalam pada masa sama mempamerkan produk usahawan tempatan Malaysia dan juga jenama antarabangsa.
Rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menghadiri F3 Festival 2022 secara percuma selama 3 hari bagi menyokong jenama tempatan #sapotlokal.
Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Jason Yap berkata, rakyat Malaysia telah melalui waktu pandemik yang amat mencabar dan telah meninggalkan kesan yang sangat berat terhadap ekonomi negara.
"Bagaimanapun, rakyat Malaysia masih teguh bersatu tanpa mengira bangsa untuk membantu satu sama lain bagi melalui kesukaran yang dihadapi. ‘Keluarga Malaysia’ ialah tentang nilai kekeluargaan yang utuh tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.
"Oleh itu, kami dengan kerjasama Omnia Media Prima berbesar hati ingin mendukung agenda kerajaan tersebut dengan mengadakan F3 Festival, bagi membantu usahawan tempatan untuk kembali pulih dalam menghadapi bencana ekonomi pandemik dan mengukuhkan lagi penglibatan perniagaan dengan pengguna," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jason, pengunjung boleh menyertai festival itu untuk meneroka fesyen, juadah tempatan dari pelbagai latar belakang dan juga menyertai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, permainan interaktif multiball, face painting, sand art, selfie booth dan 360 video booth dan pelbagai peraduan lain.
"Para hadirin berpeluang untuk memenangi hadiah hebat seperti gajet elektronik, jenama hijab terkenal dan pelbagai. Sesi ‘meet and greet’ turut diadakan bersama selebriti terkenal iaitu, Datuk Jovian Mandagie, Tiz Zaqyah dan Zarina Zainuddin,” katanya.
F3 Festival menampilkan lebih daripada 40 pempamer terkenal yang merangkumi jenama tempatan seperti makanan dan pakaian di Malaysia berserta dengan aktiviti kekeluargaan selaras dengan visi #KeluargaMalaysia. - DagangNews.com