KUALA LUMPUR 16 Ogos - Enra Group Bhd. bercadang untuk mempelbagaikan perniagaan teras sedia ada dan anak syarikatnya dengan mengembangkan lagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Menurutnya, cadangan kepelbagaian itu adalah untuk mendapatkan aliran pendapatan utama tambahan bagi meningkatkan prestasi kewangan kumpulan.
Secara dasarnya, Enra terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan tenaga, pembangunan hartanah, dan pegangan pelaburan.
"Kumpulan berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan MRO semasanya di bawah segmen perkhidmatan tenaga untuk meningkatkan prestasi kewangan masa hadapan berikutan prestasi kewangan yang merosot dalam tiga tahun kewangan lalu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020 (FY20) hingga FY22.
"Bagi FY22, sumbangan perkhidmatan MRO semasa kumpulan, yang baru memulakan perniagaannya pada 2019, adalah minimum," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Dalam tiga tahun kewangan (FY20 hingga FY22), hasil kumpulan semakin merosot manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) tidak konsisten.
Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM62.7 juta bagi FY22, lebih tinggi daripada RM55.3 juta yang dicatatkan bagi FY21 tetapi, ia merosot daripada RM226.6 juta bagi FY20.
Hasil ini disumbangkan terutamanya menerusi perkhidmatan tenaga, satu-satunya segmen yang mencatatkan PBT manakala segmen lain merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT).
Secara keseluruhan, PBT bagi FY22 adalah sebanyak RM6.24 juta, berbanding LBT pada FY21 sebanyak RM7.74 juta dan PBT sebanyak RM8.36 juta bagi FY20.
Kumpulan mendapati PBT bagi FY22 itu disebabkan terutamanya oleh keuntungan sekali sahaja kira-kira RM19.6 juta yang diiktiraf daripada pelupusan Enra Kimia pada 30 November 2021.
Sehubungan itu, Enra berkata, kumpulan memutuskan bahawa perkhidmatan MRO sedia ada perlu diperluaskan bagi meraih prospek yang menggalakkan dalam industri MRO.
"Pihak pengurusan percaya bahawa sifat aktiviti perniagaan MRO adalah stabil dan berulang, disebabkan keperluan berterusan untuk penyelenggaraan aset untuk memastikan operasi berjalan.
"Contoh aset tersebut termasuklah enjin diesel dan penjana (termasuk peralatan sampingan dan berkaitan) dalam industri seperti minyak dan gas (O&G), marin, perindustrian dan pertanian," katanya.
Kumpulan menjelaskan cadangan kepelbagaian itu membolehkannya memanfaatkan prospek industri MRO Malaysia yang kukuh, dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira 5% dari 2022 hingga 2025.
Tambahan pula, katanya, jumlah nilai jualan pasaran perkhidmatan MRO mungkin akan dipengaruhi secara positif oleh unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan CAGR dari 2021 hingga 2025 kira-kira 4.5% hingga 5.5%.
Sehubungan itu, menurutnya, tambahan pendapatan daripada pengembangan aktiviti perniagaan MRO dapat mengurangkan kebergantungan kumpulan kepada perniagaan sedia ada terutama segmen pembangunan hartanah yang terjajas akibat pandemik COVID-19.
"Pandemik ini telah menyebabkan kumpulan tidak mendapat kelulusan tepat pada masanya untuk projeknya yang seterusnya menangguhkan pelancaran hartanahnya.
"Berdasarkan faktor ini, lembaga pengarah percaya cadangan kepelbagaian itu akan menyumbang dengan baik kepada kumpulan dan menjangkakan bahawa prestasi kewangan masa hadapan kumpulan akan bertambah kukuh," jelasnya.
Enra menyatakan bahawa ia menjangkakan untuk membiayai sebarang komitmen kewangan kepada cadangan kepelbagaian itu melalui pembiayaan ekuiti, pembiayaan hutang, dan/atau dana dalaman kumpulan.
Ia juga akan mengambil kira, antara lain, tahap penggearan dan keperluan modal kerja kumpulan pada masa itu untuk menentukan kaedah pembiayaan dilaksanakan.
Kumpulan turut mengenal pasti Ketua Pegawai Eksekutif Enra Energy Solutions, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin untuk mengetuai dan menyelia cadangan kumpulan dalam mengembangkan perkhidmatan MRO sedia ada.
RHB Investment Bank telah dilantik sebagai penasihat utama tunggal kepada Enra untuk melaksanakan cadangan kepelbagaian berkenaan. - DagangNews.com