EP Manufacturing, MARii bekerjasama permudahkan ekosistem EV | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing, MARii bekerjasama permudahkan ekosistem EV

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah pada majlis memeterai memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak bagi meneroka ekosistem kenderaan dan penghantaran pantas. 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov – EP Manufacturing Bhd. (EPMB) menjalin kerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk meneroka Ekosistem Kenderaan Elektrik (EV) dan Penghantaran Pantas.

 

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) selama 2 tahun antara kedua-dua pihak yang dimeterai hari ini, EPMB dan MARii bersetuju untuk meneroka penubuhan pelan Pengeluaran dan Pemasangan Tempatan bagi EV 2-roda dan 4-roda. 

 

Ia termasuk infrastruktur pemasaran untuk menjual EV di pasaran Malaysia, bersama sokongan rangkaian pengecasan.

 

Pada peringkat awal, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan Ekosistem Penghantaran Pantas, dan menggabungkannya dengan sistem Pembayaran Elektronik.

 

Langkah itu akan menakrifkan semula infrastruktur penghantaran semasa dan menyepadukannya untuk dilaksanakan di peringkat seterusnya. 

 

Ini akan memacu Platform Berstruktur Bersepadu yang memberi perkhidmatan lebih baik kepada semua peringkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam menawarkan insentif kepada penggunaan EV menerusi pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini.

 

Katanya, aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi MoU ini merangkumi pembangunan kerangka kemudahan penting untuk melengkapkan ekosistem mobiliti elektrik, yang mana akan merencanakan penggunaan masa depan kenderaan elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah menyifatkan pengumuman Bajet 2022 baru-baru ini mengenai pengecualian semua cukai ke atas EV di Malaysia menunjukkan kerajaan serius untuk mempercepatkan penggunaan dan pembangunan infrastruktur EV serta ekosistemnya. 

 

Katanya, ia juga akan mewujudkan norma baharu, sekali gus merupakan satu peluang kepada EPMB.

 

"Hala tuju baharu EPMB adalah langkah positif seterusnya memandangkan kumpulan sudah memiliki kerangka kemudahan dan infrastruktur.

 

“Pelantikan pengarah baharu baru-baru ini juga akan mempercepatkan agenda perniagaan kami bersandarkan pengalaman, rangkaian dan pencapaian mereka di dalam dan luar negara,” jelasnya.

 

Untuk rekod, pada 28 Oktober lalu, EPMB mengumumkan pelantikan 2 pengarah baharu iaitu Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Derek Cheng Sheng dan Pengarah Eksekutif, Mac Ho Kok Wei, selepas kumpulan berusaha untuk melaksanakan agenda perniagaan baharu.

 

Selain itu, kumpulan itu juga telah mewujudkan pejabat satelitnya di China bagi membantu memperoleh sumber dan mengenal pasti peluang kerjasama dengan peserta EV di China. 

 

Bagi mencapai hasrat ini, EPMB telah melantik Pengarah dan Ketua Negara bagi China, Marcus Goh Kee Lun, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HKICEx Limited, Pengarah Urusan bagi China HKFAEx Group Limited serta Pengurus Dana yang juga Rakan Kongsi di CIS Pride Fund. - DagangNews.com