KUALA LUMPUR 15 Mei – Eq8 Capital Sdn Bhd, memperkenalkan identiti korporat baharunya dengan akses yang lebih besar kepada Exchanged Traded Fund (ETF) berprestasi terbaiknya, Eq8 Dow Jones US Titans 50 ETF (EQ8US50) melalui kerjasama strategik dengan Phillip Capital Management Sdn Bhd.
Eq8 yang dahulunya dikenali sebagai i-VCAP Management Sdn Bhd, adalah pengurus ETF Exchanged Traded Fund (ETF) di Malaysia dan anak syarikat milik penuh Kenanga Investors Berhad.
Mensinergikan kedudukan PhillipCapital sebagai Institusi Pengurusan Dana Dibenarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP, dengan EQ8US50 Eq8 yang telah mengatasi prestasi S&P500 sebanyak 45% dan memberikan pertumbuhan lebih 116% dalam tempoh lima tahun yang lalu, pelabur kini boleh mengaksesnya pilihan pelaburan melalui Phillip PMART ETF Eq8 US Titans 50 Shariah Aggressive Portfolio (PMART Eq8 ETF), di portal i-Invest KWSP.
Dengan EQ8US50 sebagai aset asasnya, PMART Eq8 ETF ialah portfolio terurus patuh syariah yang mengesan dan memanfaatkan prestasi 50 syarikat terbesar teratas di Amerika Syarikat seperti Tesla, NVIDIA, Apple dan Amazon dengan berkesan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis berkata, memasukkan ETF ke dalam tawaran Eq8 pada tahun 2020 telah meningkatkan prestasi portfolio dan menyediakan peluang pelaburan baharu, memperkasakan pelabur untuk menyesuaikan strategi mereka dengan berkesan.
"Evolusi Eq8 menandakan komitmen kami untuk menyegarkan imej kami dan mempromosikan pemerkasaan dan keterangkuman kewangan.
"Baca sebagai "Setara", kami menyasarkan untuk memupuk kesaksamaan, kesederhanaan dan ketelusan dalam pasaran kewangan melalui ETF kami, memberikan pelabur akses kepada pelbagai pasaran global melalui satu instrumen,” kata beliau.
Pengarah Eksekutif Eq8, Umar Alhadad berkata, dengan strategi pasif EQ8US50, pelabur mendapat peluang untuk mengemudi turun naik pasaran, mengurangkan cabaran memilih saham yang menang dalam jangka sederhana hingga panjang.
Langkah strategik ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pasaran ETF dengan menarik pelabur baharu yang tidak biasa dengan perdagangan ETF di bursa, melalui antara muka digital i-Invest KWSP yang ringkas dan berpandu dengan baik.
Pengerusi Kumpulan PhillipCapital Malaysia, Datin Nona Salleh berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan aliran masuk yang difasilitasi oleh saluran yang baru ditubuhkan, hasil daripada pengalaman pelaburan lancar yang ditawarkan pada i-Invest KWSP.
Dengan penjenamaan semula, semua ETF di bawah Eq8 kini telah beralih untuk membawa awalan 'Eq8', daripada 'MyETF' sebelumnya. - DagangNews.com