Erwan ambil alih 35% kepentingan dalam SweetDream, muncul pemegang saham terbesar | DagangNews Skip to main content

Erwan ambil alih 35% kepentingan dalam SweetDream, muncul pemegang saham terbesar

SweetDream adalah syarikat perusahaan dan pengilang tilam sejak 1978 dan mempelopori 85% segmen jualan tilam di Malaysia.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Datuk Seri Dr. Erwan Tahir muncul pemegang saham terbesar dalam syarikat perusahaan dan pengilang tilam, SweetDream Lifestyle Sdn. Bhd. yang kini dikenali sebagai Erwan SweetDream Sdn. Bhd. setelah memperoleh 35% kepentingan melalui Erwan Bhd.

 

Tokoh perniagaan itu berkata, keputusannya memasuki industri itu adalah tepat pada masanya kerana SweetDream mempunyai kepelbagaian produk bagi segmen tilam generasi baharunya menggunakan teknologi terkini termasuk set katil dan lain-lain. 

 

Melalui pengambilalihan itu, beliau merancang menjadikan keseluruhan produk tilam berkualiti tinggi Erwan SweetDream sebagai produk tilam mampu milik yang akan dijual di bawah harga pasaran khususnya kepada B40 dan seluruh Keluarga Malaysia selain mengembangkan lagi produk tersebut ke pasaran luar negara.

 

"Kami juga bercadang untuk menjalin kerjasama bersama koperasi di Malaysia untuk memasarkan dan menjual produk tilam ini kepada ahli-ahli mereka secara bayaran ansuran bulanan.

 

"Dengan kerjasama ini, kami akan menawarkan diskaun dan jaminan selama 10 tahun bagi setiap pembelian produk tilam ini dan membuat siri jelajah ke negeri-negeri bagi pelancaran rasmi untuk memperkenalkan produk-produk baharu keluaran Erwan SweetDream," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Erwan Tahir
Erwan Tahir

 

 

Erwan Tahir memiliki kepentingan dalam pelbagai industri seperti tenaga, perlindungan, insurans, pelombongan, pendidikan, kesihatan dan baja pertanian serta beberapa kepentingan dalam syarikat senaraian awam. 

 

SweetDream adalah syarikat perusahaan dan pengilang tilam sejak 1978 dan mempelopori 85% segmen jualan tilam di Malaysia sehingga kini.

 

Beliau memberitahu terdapat permintaan tinggi dan pasaran yang luas bagi tilam Erwan SweetDream untuk dieksport ke luar negara terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah setelah mendapat maklum balas positif daripada rangkaian pejabat jualan antarabangsanya di luar negara. 

 

Pejabat jualannya itu selama ini memasarkan produk pakaian pelindung diri (PPE) daripada kilang syarikatnya di Malaysia ke pasar raya terkemuka dan farmasi serta hospital di beberapa negara sejak pandemik COVID-19 sehingga kini.

 

Pada masa sama, Erwan juga tidak menolak kemungkinan untuk membina sebuah lagi kilang baharu yang akan dilengkapi dengan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat pameran dan khidmat pelanggan yang lebih moden sekiranya mendapat permintaan yang tinggi bagi pasaran domestik atau luar negara. 

 

Buat masa ini, SweetDream mempunyai sebuah kilang di Negeri Sembilan dan SweetDream Home Experience Centre di Cheras yang boleh dikunjungi oleh para pelanggan. - DagangNews.com