Evergreen Group peroleh lesen pinjaman wang daripada KPKT bagi pengembangan operasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Evergreen Group peroleh lesen pinjaman wang daripada KPKT bagi pengembangan operasi di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Evergreen Group Holdings menerusi EGH Capital Malaysia Sdn Bhd Berjaya memperoleh lesen pinjaman wang daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengembangkan operasi syarikat di pasaran Malaysia.

 

Pencapaian itu membolehkan EGH Capital menyokong projek pembiayaan yang bertujuan meningkatkan projek perumahan mampu milik, khususnya bagi penjawat awam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Evergreen Group, David Yong berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian itu kerana ia dilihat sebagai usaha penting dalam mengembangkan operasi pembiayaan mereka ke Malaysia.

 

Beliau berkata, malamat mereka adalah untuk menyediakan rumusan pembiayaan inovatif yang memenuhi keperluan rakan kongsi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini.

 

"Dengan lesen KPKT, kami kini bersedia untuk menawarkan rangkaian perkhidmatan kewangan yang lebih luas bagi projek perumahan dan kontrak perolehan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Operasi Evegreen Group, Desmond Sim berkata, EGH Capital Malaysia telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa koperasi terkemuka dan agensi kerajaan untuk menyokong inisiatif itu.

 

"Sejak 2022, kami telah mengkaji pasaran Malaysia dengan teliti, dan penemuan kami menunjukkan peluang dan potensi yang besar. Pencapaian ini mewakili permulaan aspirasi kami di Malaysia," katanya.

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu dijadualkan berlangsung tidak lama lagi menandakan permulaan rasmi usaha kerjasama ini.- DagangNews.com