IPOH 22 Nov - Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.
Istiadat berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar. Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Barisan Exco kerajaan perpaduan Perak ini diwakili tujuh daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tiga.
Mereka ialah empat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu A. Sivanesan (Sungkai); Teh Kok Lim (Aulong); Loh Sze Yee (Jalong) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).
Sandrea Ng (Teja) dan Mohd. Azlan Helmi (Tualang Sekah) pula daripada PKR manakala Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) Amanah.
Tiga Exco BN daripada UMNO ialah Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang); Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).
Sivanesan, Mohammad Nizar dan Mohd. Zolkafly pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, malah Mohamad Nizar adalah mantan Menteri Besar Perak ke-10 selepas Pilihan Raya Umum 2008 .
Semalam, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas BN dan PH bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan negeri.
BN yang mempunyai sembilan kerusi dan PH (24) membolehkan kerajaan yang stabil dengan 33 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperolehi 26 kerusi. – DagangNews.com