KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk Exco Kerajaan Pahang, Datuk Seri Johari Harun terkorban dalam nahas pesawat sewa khas yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.
"Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
"Ketika terhempas, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing seorang individu dalam setiap kenderaan," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Hussein berkata, pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.
Pesawat malang berkenaan dipercayai jenis Premier 1 Beechcraft dengan nombor pendaftaran N28JV dengan kapasiti 8 orang penumpang, Berita Harian melaporkan.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai enam penumpang dan dua anak kapal berada dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam petang tadi.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan hari ini berkata, keadaan penumpang pesawat masih tidak dapat disahkan ketika ini.
Beliau berkata, pesawat terbabit yang dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Norazman berkata, pesawat terbabit sebelum ini, melakukan kontak pertama dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang, pada jam 2.47 petang.
Kemudian, katanya, kebenaran mendarat diberikan seminit selepas itu, selain Menara Kawalan Trafik Udara Subang mengenal pasti kepulan asap dari lokasi nahas pada jam 2.51 petang.
"Bagaimanapun, tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat terbabit. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR).
"Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya. - DagangNews.com