Facebook beri geran RM3.2 juta bantu PKS Malaysia | DagangNews Skip to main content

Facebook beri geran RM3.2 juta bantu PKS Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Okt.Melihatkan cabaran yang terus dihadapi oleh perniagaan dalam menghadapi kemelut ekonomi akibat pandemik COVID-19, Facebook Malaysia melancarkan Program Geran Perniagaan Kecil atau ‘Small Business Grant’.

Menerusi program itu, geran berjumlah kira-kira RM3.2 juta akan ditawarkan bagi membantu meringankan beban lebih daripada 300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan menyedari bahawa sokongan kepada PKS dalam tempoh ini dan masa akan datang adalah amat penting untuk pemulihan ekonomi negara.

“PKS merupakan nadi utama kepada komuniti dan tulang belakang ekonomi negara, yang kini mengalami cabaran paling sukar akibat pandemik COVID-19.

 

Nicole Tan
Nicole Tan

 

“Oleh itu, kami di Facebook akan terus menyatukan sumber kami dan membangunkan alatan digital untuk membantu PKS mengemudi perniagaan dalam norma baharu dan membangun dengan lebih kukuh pasca pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Facebook yang turut memetik Laporan State of Small Business Report mengenai sebuah kajian terhadap perniagaan kecil dan sedang dijalankan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Facebook, ia mendapati bahawa hampir 58% PKS di Malaysia bimbang akan aliran tunai bagi bulan-bulan yang akan datang.

PKS merangkumi 38.9% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, 48.4% daripada peluang pekerjaan serta 17.9% aktiviti eksport di Malaysia.

Berhubung tawaran berkenaan, setiap geran yang akan diberikan berjumlah RM9,400 iaitu merangkumi wang tunai sebanyak RM5,900 dan kredit iklan pilihan berjumlah RM3,500.

Permohonan akan dibuka dari 6 hingga 12 Oktober dan perniagaan tidak perlu mempunyai akaun Facebook untuk membuat permohonan.

 Syarat kelayakan permohonan adalah perniagaan mestilah mempunyai dua hingga 50 orang pekerja, menjalankan perniagaan lebih daripada setahun dan mengalami cabaran akibat pandemik COVID-19.

Untuk maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan cara untuk memohon geran, sila layari https://www.facebook.com/business/boost/grants. – DagangNews.com