Far East catat peningkatan untung bersih hampir 10 kali ganda kepada RM51.4 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Far East catat peningkatan untung bersih hampir 10 kali ganda kepada RM51.4 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Far East Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih hampir 10 kali ganda kepada RM51.4 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM5.9 juta pada tahun sebelumnya didorong penghasilan buah tandan segar (BTS) serta harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat hampir dua kali ganda kepada RM180.8 juta berbanding RM98.6 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.

 

"Pengeluaran BTS yang lebih tinggi sebanyak 44,365 tan metrik (83%) ditambah pula dengan purata harga MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi bagi setiap tan metrik masing-masing sebanyak 4% dan 21%.

 

"Harga purata MSM bagi setiap tan metrik ialah RM4,033 (2023: RM3,893) dan harga purata PK bagi satu tan metrik ialah RM2,405 (2023: RM1,988) serta bahagian keuntungan selepas cukai syarikat bersekutu yang lebih tinggi sebanyak RM13.06 juta (283%)," katanya.

 

Untung bersih bagi separuh pertama berakhir 31 Jun 2024 (1HFY24) melonjak kepada RM80 juta berbanding RM21.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disokong peningkatan hasil sebanyak RM326.3 juta berbanding RM208.3 juta pada 1HFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan harga MSM dan PK kekal stabil sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Katanya, pengeluaran BTS dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan prestasi kewangan kumpulan untuk 2024 dijangka bertambah baik, terutamanya didorong oleh peningkatan dalam pengeluaran BTS dan harga MSM dan PK yang stabil.

 

"Bagaimanapun, kumpulan akan terus menghadapi cabaran daripada kos operasi yang tinggi," katanya.- DagangNews.com