Fasa 1 projek internet Tabika KEMAS dijangka bermula hujung 2022 | DagangNews Skip to main content

Fasa 1 projek internet Tabika KEMAS dijangka bermula hujung 2022

SERDANG 25 Ogos - Pelaksanaan projek naik taraf capaian internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi fasa satu dijangka bermula hujung tahun ini.

 

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).

 

"Keperluan untuk menyediakan kemudahan internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika KEMAS berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

 

Menurut Mahdzir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan sesi libat urus dengan MOF bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaan projek berkenaan.

 

Pada Mei lalu Mahdzir dilaporkan berkata, KPLB akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian internet di premis Tabika KEMAS di seluruh negara lebih baik.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di UPM pada 25 Ogos 2022.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian internet di 11,000 premis Tabika KEMAS. - DagangNews.com