FDI susut 54.8% pada 2020, terendah sejak 2009 | DagangNews Skip to main content

FDI susut 54.8% pada 2020, terendah sejak 2009

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia menyusut 54.8% kepada RM14.6 bilion pada tahun lalu, berbanding RM32.4 bilion pada 2019.

 

Aliran masuk itu juga adalah terendah sejak 2009, yang berjumlah RM5.1 bilion, menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Ini sebahagiannya disebabkan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global akibat pandemik COVID-19. 

 

Katanya, penurunan dalam aliran FDI ini disebabkan oleh ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih rendah serta pinjaman kepada affiliate di luar negara yang lebih tinggi. 

 

"Dari segi kedudukan, FDI meningkat kepada RM698.8 bilion pada akhir 2020 (berbanding 2019, RM687.8 bilion). 

 

"Sementara itu, pendapatan pelaburan menyusut kepada RM44.6 bilion daripada RM60.5 bilion pada tahun lalu," katanya.

 

 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia
Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

 

 

Sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama bagi aliran FDI pada 2020, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian. 

 

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan ini terutamanya membabitkan aktiviti kewangan dan utiliti, manakala sektor pembuatan sebahagian besarnya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan. 

 

Mohd. Uzir berkata, negara utama yang menyaksikan aliran FDI adalah Singapura, Thailand dan China.

 

Tambahnya, kedudukan FDI pada akhir 2020 adalah RM698.8 bilion, yang mana sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama khususnya dalam aktiviti kewangan dan perdagangan borong serta runcit. 

 

"Ini diikuti dengan sektor pembuatan dengan elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan sebagai subsektor utama. 

 

"Singapura, Hong Kong dan Jepun kekal sebagai negara pelabur terbesar bagi kedudukan FDI," jelasnya.

 

Menurut beliau, pendapatan pelaburan menurun kepada RM44.6 bilion daripada RM60.5 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah diterima oleh syarikat asing. 

 

Pembuatan dan perkhidmatan merupakan sektor utama, sementara pelabur dari Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong memperoleh pendapatan tertinggi pada 2020, tambah beliau.

 

 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia
Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

 

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) pada 2020 mencatatkan aliran keluar bersih RM11.9 bilion, disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah terutama dalam sektor perlombongan dan perkhidmatan. 

 

Kanada menjadi negara utama DIA pada tahun lalu terutamanya pelaburan berkaitan industri minyak dan gas. 

 

Mohd. Uzir berkata, pada akhir 2020, kedudukan DIA meningkat kepada RM518.8 bilion manakala pendapatan mencatatkan nilai RM18.4 bilion.

 

"Perkhidmatan kekal sebagai sektor terpenting bagi DIA dengan menyumbang 54 peratus daripada jumlah pelaburan, terutama dalam aktiviti kewangan dan telekomunikasi. 

 

"Ini diikuti oleh sektor pembuatan khususnya dalam produk makanan dan minuman serta petroleum, kimia, getah dan plastik," katanya.

 

Beliau berkata, Kanada, United Kingdom dan Indonesia merupakan destinasi utama aliran DIA pada 2020.

 

Secara keseluruhan, pelaburan terkumpul di luar negara meningkat kepada RM518.8 bilion kebanyakannya dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian serta pertanian. 

 

Kedudukan DIA ini terutamanya disalurkan ke Singapura dan Indonesia, manakala United Kingdom telah mengatasi Kepulauan Cayman sebagai destinasi utama yang ketiga.

 

Dari segi pendapatan, DIA mencatatkan nilai RM18.4 bilion dan didorong oleh sektor perkhidmatan dengan 71.4 peratus daripada jumlah pendapatan, terutamanya dalam aktiviti kewangan. - DagangNews.com