Felcra laksana projek kedua Komplek Tenakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap | DagangNews Skip to main content

Felcra laksana projek kedua Komplek Tenakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap

KUALA NERANG 9 Sept. - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Felcra Berhad melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam menggunaka sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual mula beroperasi pada  Oktober 2023.

 

"Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat, sebaliknya merupakan aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.  

 

"Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi," katanya selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam, hari ini.

 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria; Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria.

 

Mahdzir berkata, kompleks ternakan ayam itu dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250,000 ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

 

kplb

 

"Saya menaruh harapan dengan pelaksanaan projek ini, anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan," katanya.

 

kplb

 

Beliau berkata, projek ternakan ayam itu juga memberi ruang kepada usahawan bimbingan Felcra untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

 

kplb

 

Pada masa sama, turut melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Kampung Tanjung Seratus, Rompin. - DagangNews.com