Felda cadang ambil alih FGV dengan nilai RM658 juta | DagangNews Skip to main content

Felda cadang ambil alih FGV dengan nilai RM658 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Felda berhasrat mengambil alih kepentingan dalam FGV Holdings Bhd. dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Sebelum ini, agensi itu memiliki pegangan 21.24% atau 775,029,800 saham dalam FGV dan bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Pengambilalihan kepentingan ini dengan RM1.30 sesaham akan meningkatkan pegangan Felda dalam FGV kepada 35.12%.

 

Dalam notis kepada media yang dikeluarkan hari ini, Maybank Investment Bank berkata, ia telah menandatangani perjanjian pembelian saham (CSPA) dengan KWAP untuk membeli 222.48 juta saham FGV dengan harga RM289.2 juta. 

 

"Bagi Urusharta Jamaah pula, melibatkan saham sebanyak 283.71 juta bernilai RM368.8 juta," katanya bagi pihak Felda dalam notis tersebut tersebut. 

 

Felda

 

Menurutnya, apabila langkah pengambilalihan itu selesai, Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya, akan mempunyai pegangan terkumpul lebih 50% dalam FGV. 

 

"Keadaan ini akan mencetuskan tawaran ambil alih mandatori (MO)," jelasnya. 
 

Namun, notis itu memaklumkan, apabila CSPA menjadi tanpa syarat, Felda akan memberi tawaran notis mandatori kepada lembaga pengarah FGV. 

 

"Sebagai penjelasan, cadangan itu tidak akan menyebabkan MO kepada Felda untuk memperoleh semua baki saham undian dalam MSM Malaysia Holdings Bhd. yang tidak dimiliki oleh FGV," katanya. 

 

Maybank IB menjelaskan, langkah yang diambil Felda ini membolehkan agensi berkenaan mempunyai kawalan ke atas tanah ladang dan rantaian bekalan bersepadu FGV dan anak syarikatnya (Kumpulan FGV). 

 

"Ini akan membuka kerjasama yang lebih baik antara FGV dan Felda dan menyediakan Felda kepada akses aktiviti hiliran yang dijalankan FGV," katanya. 

 

Pada 30 Oktober lalu, Felda membuat keputusan bukan sahaja membatalkan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan FGV tetapi  turut mahu mengambil alih kilang sawit milik syarikat itu bagi melengkapkan rantaian perniagaan, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan kewangan agensi itu.

 

Langkah itu yang bertujuan meningkatkan pendapatan teras daripada tanah Felda, adalah antara 6 perkara dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang sudah dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet pada 14 Oktober lalu. - DagangNews.com