FGV agih hampir RM1 juta zakat wakalah perniagaan | DagangNews Skip to main content

FGV agih hampir RM1 juta zakat wakalah perniagaan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan menyampaikan cek replika zakat wakalah kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar (kiri). Turut kelihatan, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh (dua dari kiri) dan Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

 

 

KUALA LUMPUR 26 April –  FGV Holdings Berhad menyalurkan sebanyak RM980,500 bagi zakat wakalah perniagaan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM874,500 diperuntukkan kepada 11 wilayah Felda manakala sebanyak RM106,000 diagihkan kepada 200 asnaf dengan pemberian RM500 seorang. 

 

Mereka turut menerima pelbagai produk keluaran Kumpulan FGV seperti beras, santan dan minyak masak Saji, gula Prai, serta marjerin Seri Pelangi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan menyampaikan cek replika dengan jumlah tersebut kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai simbolik penyampaian sumbangan.

 

Haris Fadzilah berkata, sumbangan zakat wakalah perniagaan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan merupakan aktiviti tahunan Kumpulan FGV.

 

"FGV akan terus menunaikan kewajipan berzakat demi memenuhi tuntutan Islam, serta membantu meringankan beban golongan sasaran. 

 

"Sumbangan pada tahun ini lebih bermakna kepada para penerima yang menyambut Ramadan dan Syawal di dalam norma baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis penyampaian itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh serta pengurusan kanan FGV dan Felda.

 

FGV merupakan antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BPLC) selama beberapa tahun. 

 

Pada 2020, FGV membayar zakat berjumlah RM10.35 juta manakala 2019 (RM6.53 juta) dan 2018 (RM15.76 juta).

 

Selain Wilayah Persekutuan, FGV turut melunaskan zakat perniagaan di negeri-negeri di seluruh negara di mana kumpulan beroperasi. - DagangNews.com