FGV catat keuntungan RM20.55j pada Q2 | DagangNews Skip to main content

FGV catat keuntungan RM20.55j pada Q2

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan zakat sebanyak RM20.55 juta pada suku kedua 2020 didorong oleh peningkatan harga minyak mentah dan kerugian yang sedikit dalam sektor gula.

Hasil bagi tempoh sama turut menunjukkan sedikit peningkatan kepada RM3.29 bilion berbanding RM3.28 bilion pada suku kedua 2019. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, prestasi kewangan FGV menunjukkan sedikit peningkatan.

“Bagaimanapun, prestasi keseluruhan terjejas akibat pandemik COVID-19 yang kian menular di seluruh dunia. 

"Hasil daripada peningkatan kecekapan operasi kami, FGV berjaya membawa pengeluaran minyak mentah dan buah sawit kembali normal setelah menunjukkan kadar yang perlahan pada awal tahun ini dan rugi 79,000 tan metrik buah yang tidak dituai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia.

 

FGV
Haris Fadzilah Hassan

 

Pengeluaran buah sawit di estet FGV mencatatkan 1.19 juta tan metrik iaitu 3% lebih tinggi berbanding 1.15 juta tan metrik pada suku kedua 2019. 

Sementara itu, kerugian sektor gula sebelum cukai dan zakat menurun kepada RM26 juta pada suku kedua 2020 berbanding RM53 juta pada tempoh sama bagi tahun 2019. 

“Perniagaan gula menunjukkan penurunan jumlah jualan seiring pengurangan permintaan dalam secara borong di pasaran domestik. Memandangkan pasaran global mula dibuka selepas sekatan ketat, kami menjangkakan sektor ini akan beransur pulih.

“Dalam pada itu, selain memfokuskan kepada kepelbagaian produk dan pasaran eksport, kami menyasarkan untuk meningkatkan kadar penggunaan kilang gula di Johor kepada 50%,” tambah beliau. 

Pelan kepelbagaian produk oleh FGV kini sedang berjalan dan antara sektor baharu yang diperkenalkan adalah barang pengguna bergerak pantas (FMCG).

Kesemua produk pengguna FGV akan disatukan di bawah sektor berkenaan dan akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu makanan dan bukan makanan.

FGV akan menumpukan pengukuhan jenama dan memperluas portfolio produk ke peringkat antarabangsa bermula di Asia Tenggara. 

“Perniagaan produk tenusu kami menunjukkan pertumbuhan menggalakkan kerana kami sedang mempromosikannya secara agresif dan mengukuhkan semula produk Bright Cows dalam pasaran,” kata Haris Fadzilah.

Setakat 31 Julai 2020, perniagaan makanan haiwan FGV mencatatkan hasil sehingga RM11.5 juta. - DagangNews.com