FGV Hasilkan Sejuta tanaman berdaya tahan Pisang Klon Untuk Memenuhi Permintaan Pasaran | DagangNews Skip to main content

FGV Hasilkan Sejuta tanaman berdaya tahan Pisang Klon Untuk Memenuhi Permintaan Pasaran

SEORANG penyelidik FGV Innovation Centre di Bandar Enstek memeriksa benih tanaman berdaya tahan pisang klon untuk memenuhi permintaan pasaran. 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Bermula sebagai kajian pisang klon, ia terus membuka peluang kepada FGV Holdings Berhad (FGV) dalam menghasilkan pengeluaran besar-besaran jenis tanaman berdaya tahan iaitu pisang klon berkualiti tinggi.

FGV menyasarkan untuk menghasilkan 1 juta pisang klon pada 2021, peningkatan 100% daripada pengeluaran semasa untuk memenuhi permintaan pasaran khususnya pisang segar dan untuk industri makanan berasaskan pisang. Dengan ini, FGV dapat memenuhi sekitar 30% permintaan penggunaan negara untuk buah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kualiti tinggi benih pisang klon FGV terbukti dengan lebih dari 6 juta ramet pisang berangan terjual antara 2007 hingga Julai 2020, menjadikan FGV salah satu pengeluar benih pisang klon terbesar di Malaysia. 
 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan
                                                    Haris Fadzilah Hassan


“Pusat Inovasi FGV yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan menghasilkan jenis tanaman berdaya tahan pisang klon untuk memenuhi permintaan industri sawit di dalam tempoh tanam semula dan petani pisang di negara ini.

"Dengan penyelidik yang berpengalaman dan berdedikasi dalam pengeluaran kultur tisu, nasihat teknikal dan operasi tapak semaian, FGV mempunyai kepakaran untuk menyokong usahawan tani pisang dan pekebun kecil dengan benih pisang klon yang terbaik, kontrak pengklonan pisang dan pertanian kontrak.

“Ini selari dengan langkah strategik FGV untuk meluaskan inisiatif Pertanian Bersepadu dan pada masa yang sama meningkatkan pengeluaran pisang tempatan dengan sasaran penguasan pasaran sebanyak 50% atau bersamaan 1.7 juta anak benih yang akhirnya akan meningkatkan kehidupan petani pisang di Malaysia,” tambah Haris Fadzilah.

Pisang telah dikenal pasti mendapat permintaan yang paling banyak dan merupakan tanaman kontan paling laris di Malaysia yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk pekebun kelapa sawit semasa fasa belum matang menggunakan sistem tanaman selingan.

Jenis pisang yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan petani tempatan adalah berangan dan FGV kini menghasilkan 850,000 ramet setiap tahun. Pokok pisang induk FGV iaitu klon berangan yang diperakui oleh Jabatan Pertanian di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman.

 

banana1
Proses pertumbuhan pisang klon.


Anak benih pisang klon yang dihasilkan oleh FGV bebas dari penyakit, mempunyai pertumbuhan yang seragam dan mampu menghasilkan hasil lebih awal dibandingkan dengan bahan penanaman sulur.

Anak pokok pisang klon FGV merangkumi beberapa jenis seperti tanduk, lang, nipah, nangka, rastali, mas dan lemak manis tersedia untuk pembelian pukal di lima tapak semaian yang terletak di Bandar Enstek (Negeri Sembilan), Trolak (Perak), Jerantut (Pahang), Bukit Tongkat (Johor) dan Lahad Datu (Sabah).
 

banana2
Anak pokok pisang klon FGV tersedia untuk pembelian pukal di 5 tapak semaian dan pusat jualan di Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.


Anak pokok pisang klon juga dijual secara dalam talian melalui platform Shopee di bawah FGV Agri Services Sdn Bhd.

Berikutan kejayaan ini, FGV kini mengembangkan bahan penanaman klon untuk tanaman bernilai tinggi seperti nanas, buluh, vanila dan tanaman air bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi. - DagangNews.com