FGV kecewa tindakan Amerika Syarikat | DagangNews Skip to main content

FGV kecewa tindakan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR 1 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) kecewa terhadap Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh United States Customs and Border Protection (CBP) terhadap minyak dan produk sawit keluaran FGV.

Dalam kenyataan di sini, FGV menyatakan semua isu yang dibangkitkan telah menjadi bahan wacana umum sejak tahun 2015 dan FGV telah mengambil beberapa langkah untuk membetulkan keadaan. Usaha FGV ini didokumentasikan dengan baik dan tersedia di domain awam.
 

BERITA BERKAITAN: Amerika Syarikat Halang Pengimportan Minyak Sawit FGV Holdings


"FGV kecewa kerana keputusan tersebut telah dibuat sedangkan FGV telah mengambil langkah konkrit dalam beberapa tahun kebelakangan inibagi menunjukkan komitmennya dalammenghormati hak asasi manusia serta menjunjung tinggi standard pekerja.

"Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kami bertarikh 26 September 2020, pelbagai usaha telah dijalankan oleh FGV bagi menghormati komitmen tersebut, termasuk yang berikut:

i. FGV akan terus memperkasa prosedur dan prosesnya dalam pengambilan pekerja migran. FGV telah menubuhkan empat Pusat Sehenti di Malaysia dan di negara sumber seperti di India dan Indonesia, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan program orientasi sebelum pelepasan dan ketibaan pekerja migran kami. Melalui sesi orientasi ini, pekerja migran diberikan penerangan mengenai pelbagai perkara termasuk syarat pekerjaan mereka, skop pekerjaan dan sifat pekerjaan, hak dan tanggungjawab, serta faedah dan kelayakan.

ii. FGV juga telah menerapkan Prosedur dan Garis Panduan untuk Pengambilan Pekerja Migran yang Bertanggungjawab pada tahun 2019 sesuai dengan standard antarabangsa dan akan terus mempertingkatkan lagi kandungan dokumen tersebut. Di bawah Garis Panduan ini, FGV komited untuk menanggung kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja migran yang meliputi permit kerja, visa, pemeriksaan kesihatan sertainsurans. FGV juga telah menyemak semula kontrak dengan agensi pengambilan pekerja bagi memastikan tiada sebarang bayaran dikenakan ke atas pekerja terbabit.

iii. FGV juga tidak terlibat dalam pengambilan ataumenggaji pelarian. Berkuatkuasa tahun 2020, FGV hanya mengambil pekerja migran dari India dan Indonesia menerusi proses serta saluran yang sah, diperakui dan diluluskan oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara sumber. Sehingga Ogos 2020, FGV mempunyai seramai 11,286 orang pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India yang juga merupakan tenaga kerja terbesar di ladang-ladang FGV.  

iv. FGV juga menjadi perintis bagi pelaksanaan pembayaran tanpa tunai secara dompet elektronik(e-wallet) bagi pekerja-pekerja ladang. Menerusi aplikasi e-wallet ini, ia memberi kelebihan kepada pekerja untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap dan selesa sejak ia dilaksanakan pada Februari 2020 di Gua Musang, Kelantan dengan membabitkan kira-kira 1,500 orang pekerja di 11 buah ladang. Menjelang suku tahun pertama 2021, FGV menyasarkan untuk melaksanakan sistem ini ke seluruh sektor perladangannya termasuk di Sabah dan Sarawak.

v. FGV tidak mengamalkan penyimpanan passport pekerja malah telah menyediakan sebanyak 32,250 buah peti simpanan passport di seluruh 68 buah kompleks sebagai langkah pilihan kepada pekerja untuk menyimpan passport mereka dengan selamat.

vi. Dalam memenuhi hak-hak pekerja terhadap perumahan, FGV dalam tempoh tiga tahun ini telah melabur hampir RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan perumahan dengan membina kediaman baharu di ladang-ladang kami di seluruh negara.

vii. FGV juga menghormati hak pekerja terhadap kesihatan menerusi manfaat yang disediakan dan ini termasuklah menanggung perbelanjaan tahunan bagi rawatan pesakit luar selain peruntukan tanpa had untuk rawatan di hospital.

viii. Menyedari bahawa hak asasi manusia dan standard kelestarian perlu dipatuhi menerusi rantaian bekalan, FGV telah menerap Kod Tatalaku dan Amalan Pembekal (SCOC), yang menggariskan prinsip-prinsip dan standard tertentu yang melibatkan kelestarian; etika dan integriti perniagaan, keselamatan, kesihatan dan pekerjaan; serta buruh yang perlu dipatuhi oleh pembekal dan vendor kami. Mana-mana pembekal atau vendor yang gagal mematuhi SCOC bakal berdepan dengan “Garis Panduan Salah LakuPembekal FGV” yang berkemungkinan boleh digantung, disingkirkan atau disenaraihitamsekiranya mereka gagal memperbetulkan kesilapan yang berlaku dalam amalan mereka.

FGV mengulangi pendirian untuk tidak bertolak ansur dengan mana-mana pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah di dalam operasinya. FGV memandang serius terhadap mana-mana dakwaan keganasan fizikal atau seksual mahupun intimidasi atau ancaman. Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, sebarang tindakan tersebut akan diambil tindakan termasuklah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menyedari bahawa menghormati hak asasi manusia merupakan usaha yang berterusan, FGV telah menjadi syarikat yang mengambil bahagian di dalam Fair Labor Assosiation (FLA) dan kini sedang melaksanakan pelan tindakan komprehensif jangka panjang di bawah kerjasama ini. Menerusi FLA, terdapat beberapa inisiatif bagi memperkukuhkan lagi pelbagai aspek amalan perburuhan seperti proses pengambilan, program latihan hak asasi manusia, persekitaran kerja dan tempat tinggal di samping mekanisma aduan. Pelan tindakan FGV 2020 telah digunapakai pada 31 Mac 2020 menerusi rundingan khidmat nasihat yang diberikan oleh FLA serta pelbagai pihak pemegang taruh seperti organisasi kemasyarakatan awam (CSOs).

Pelan tindakan ini telah diguna pakai ketika situasi pandemik COVID-19 melanda dunia termasuk di Malaysia. Disebalik cabaran pandemik yang belum pernah dialami ini, FGV telah membuat jajaran semula keutamaannya bagi memastikan langkah-langkah wajar diambil bagi memerangi dan mengekang penularan COVID-19. FGV kekal komited melaksanakan pelan tindakan dan yakin perkembangan konkrit telah dibuat sepanjang enam bulan tempoh pelaksanaannya bermula April 2020. FGV yakin berada di landasan yang betul untuk mencapai butiran tindakan yang dijangka selesai pada hujung tahun 2020.

Kerjasama FGV dengan FLA ini tertakluk kepada tugas pengesahan yang ketat dan pelaporan awam. Laporan FLA terhadap perkembangan pelaksanaan pelan tindakan ini disiarkan di laman web FLA.

Sejak Ogos 2020, FGV telah berhubung dengan CBP menerusi Penasihat Undang-undang dan telah mengemukakan bukt-bukti pematuhan standard perburuhan seperti yang dijanjikan. FGV juga akan meneruskan sesi libat urus dengan CBP bagi membersihkan nama dan berazam untuk melihat menerusi komitmen kami dalam menghormati hak asasi manusia serta menjunjung standard perburuhan. - DagangNews.com