FGV semak semula harga pengambilalihan MSM Perlis kepada RM181.11 juta | DagangNews Skip to main content

FGV semak semula harga pengambilalihan MSM Perlis kepada RM181.11 juta

 

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - FGV Holdings Bhd. menyemak semula harga pengambilalihan MSM Perlis Sdn. Bhd. kepada RM181.11 juta berbanding RM175 juta sebelum ini, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat perladangan itu berkata, semakan semula itu dibuat berikutan penyelesaian hutang bersih dan modal kerja siap MSM Perlis masing-masing pada RM902,954 dan RM5.2 juta.

 

Jelasnya, penyata lengkap hutang bersih dan modal kerja bersih disediakan mengikut terma perjanjian penjualan saham, yang telah dipersetujui antara unit FGV iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) dan syarikat induk MSM Perlis, MSM Malaysia Holdings Bhd.

 

"Dengan mengambil kira pertimbangan perolehan akhir melebihi pertimbangan perolehan di peringkat awal sebanyak RM175 juta, FGVIF akan membayar kepada MSM jumlah yang sama dengan pertimbangan perolehan akhir daripada pertimbangan perolehan awal dalam tempoh 5 hari perniagaan selepas penentuan keputusan akhir...FGVIF akan membuat bayaran sebanyak RM6.11 juta kepada MSM pada 9 November ini," katanya. 

 

Sebelum ini, pada 8 Jun lalu, MSM dan FGVIF memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) bagi pelupusan dan pemerolehan 100% kepentingan anak syarikat milik penuh MSM, iaitu MSM Perlis membabitkan nilai RM175 juta.

 

Perjanjian kedua-dua anak syarikatnya itu adalah lanjutan kepada lembaran terma yang ditandatangani antara MSM dan FGVIF pada 30 April 2021.

 

FGV menjelaskan, pelupusan terbabit dilakukan berikutan penamatan operasi bukan strategik di MSM Perlis sebagai sebahagian daripada strategi rasionalisasi syarikat itu untuk menyelaraskan keuntungan dan mengembangkan kemampuan operasi.

 

MSM Perlis memegang 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang telah diperuntukkan untuk pembangunan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis oleh FGVIF, sektor baharu di bawah kumpulan. - DagangNews.com