FGV 'terbangkan' minyak masak Saji ke Ethiopia | DagangNews Skip to main content

FGV 'terbangkan' minyak masak Saji ke Ethiopia

Penghantaran pertama minyak masak SAJI ke Ethiopia dijadual pada Julai 2021 berikutan permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk minyak masak premium. - Gambar FGV

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - FGV Holdings Bhd. menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) buat kali pertama mengembangkan segmen hiliran dengan mengeksport 239 tan metrik minyak masak Saji ke Ethiopia. 

 

Ini seterusnya mengesahkan kehadiran jenama tersebut dalam pasaran baharu di benua Afrika dengan penghantaran pertama dijadual pada Julai ini berikutan permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk minyak masak premium.

 

Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, langkah tersebut dapat meningkatkan nilai eksport produk FGV di Afrika sejajar pelan pengembangan syarikat di luar negara.

 

Katanya, FGV juga sedang meninjau kesesuaian untuk membekal dan mengedar minyak masak Saji ke negara-negara Afrika yang berjiran.

 

“Ethiopia adalah negara kedua terbesar di Afrika dengan populasi seramai 117 juta dan ini merupakan landasan sesuai bagi FGV menembusi bahagian timur benua Afrika.

 

"Sasaran awal pasaran di sana ialah sektor perkhidmatan makanan, dan kami berharap ia dapat dikembangkan lagi kepada segmen peruncitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, matlamat FGV ini turut menyumbang kepada usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan lagi eksport minyak sawit

 

"Pengenalan minyak masak Saji kepada pengguna Afrika membuktikan keyakinan semakin meningkat di pasaran global terhadap apa yang kami tawarkan," tambah beliau.

 

Saji merupakan jenama isi rumah bagi minyak masak dengan penguasaan 40 peratus pasaran minyak sawit bertapis di Malaysia. 

 

Ia diperbuat daripada minyak bertapis berkualiti tinggi serta Olein Sawit yang Dilunturkan dan Dinyahbaukan (RBD) yang kaya dengan vitamin E selain bebas daripada kolesterol.

 

Antara rangkaian produk FGV termasuk minyak masak, gula, beras, santan, marjerin, lelemak, vanaspati, mi segera, krimer, susu segar dan pelbagai produk makanan lain di bawah jenama Saji, Adela, Seri Pelangi, Premeo, Tiga Udang, Gula Prai dan Bright Cow.

 

FGV mempunyai rantaian bekalan bersepadu sepenuhnya dari ladang ke meja, yang membantu memastikan bekalan minyak dan lelemak yang mencukupi ke pasaran tempatan dan antarabangsa. - DagangNews.com