FGV tiada hasrat perbaharui perjanjian gas asli dengan Biotek Dinamik, Sime Darby Energy Solutions | DagangNews Skip to main content

FGV tiada hasrat perbaharui perjanjian gas asli dengan Biotek Dinamik, Sime Darby Energy Solutions

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - FGV Holdings Berhad tidak berhasrat untuk memperbaharui perjanjian persefahaman (MoU) tiga hala dengan Sime Darby Energy Solutions Sdn Bhd (SDES) dan Biotek Dinamik Sdn Bhd (BDSB) yang bakal tamat 31 Julai ini.

 

Pada 31 Julai 2019, FGV menerusi FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI) memeterai MoU dengan kedua-dua pihak tersebut yang menyaksikan kerjasama mereka untuk menghasilkan gas asli bio-termampat (BioCNG) dari sisa bio gas yang dihasilkan di kolam buangan kilang minyak sawit (POME).

 

“Penamatan MoU ini tidak akan mendatangkan sebarang kesan secara kewangan dan perundangan kepada semua pihak, tidak menghalang FGVPI daripada meneroka peluang perniagaan pada masa akan datang dengan SDES dan BDSB serta tidak akan menjejaskan agenda kemampanan dan komitmen FGV,” jelas kumpulan menerusi maklumannya di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sebagai rekod, FGV memiliki kepentingan secara tidak langsung di dalam FGVPI, menerusi pemegangan ekuiti 72% oleh Felda Holdings Berhad.

 

Sebaik MoU itu tamat, ketiga-tiga pihak tersebut tidak boleh menuntut, secara langsung atau tidak langsung terhadap antara satu sama lain, tambah FGV.

 

BioCNG berpotensi untuk menggantikan diesel untuk kenderaan dan juga industri pembuatan. 

 

Dalam kenyataan FGV berhubung MoU berkenaan, kumpulan menjana kira-kira 170 juta meter padu bio gas setahun, hasil daripada 30 tapak kilang, sebagai produk sampingan pencernaan anaerob POME.

 

“Ketiga-tiga pihak akan memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing untuk memastikan usaha sama ini akan berjalan dengan lancar. FGVPI akan menyediakan tapak kilang, bekalan bio gas dan/atau POME serta menyelaraskan projek ini bagi memastikan ia berjalan lancar mengikut waktu ditetapkan,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan dalam kenyataan tersebut.

 

FGV mendakwa bahawa kumpulan bakal mempunyai tapak BioCNG terbanyak di dunia bagi sebuah syarikat perladangan apabila projek itu berjaya dijalankan sepenuhnya. - DagangNews.com