KUALA LUMPUR 13 Julai - Sepertimana dijangka, Filipina bakal memperoleh pesawat peronda jarak jauh (LRPA) yang dilengkapi dengan perkakasan dan sistem elektronik buatan Israel.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenainya tetapi perolehan ini dikatakan hampir pasti berikutan penganugerahan kontrak yang diterima oleh firma pertahanan terkemuka Israel, Elbit Systems Ltd. (Elbit Systems).
Elbit Systems baru-baru mengumumkan bahawa ia telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$114 juta dari sebuah negara di Asia Pasifik untuk membekalkan dua buah LRPA.
Pesawat ini akan dilengkapi dengan suite misi yang canggih dan komprehensif yang mana kontrak itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
Perkakasan tersebut meliputi sistem pengurusan misi, elektro optik, radar, SIGINT, komunikasi dan banyak lagi.
Dua pesawat LRPA itu berasaskan pesawat ATR 72-600 yang mana sistem dan perkakasan berkenaan akan diintegrasikan oleh firma Elbit Systems.
Berdasarkan jenis pesawat tersebut, maka andaian paling tepat ialah Filipina memandangkan negara itu dalam perancangan untuk mendapatkan pesawat LRPA.
Manila sejak 10 tahun lalu telah mengintai peluang untuk memperoleh pesawat LRPA atau pesawat rondaan maritim (MPA) bagi keperluan keselamatan yang mendesak.
Pada November 2020, Tentera Udara Filipina (PAF) telah mengumumkan bahawa program MPA akan dilaksanakan menerusi Projek Horizon 1 iaitu rancangan pemodenan angkatan tentera Filipina.
Perancangan adalah mendapatkan dua buah pesawat yang mana calonnya adalah sama ada Leonardo ATR-72MP/P-72A dan Airbus P-295MPA/ASW.
Bajet untuk perolehanan ini akhirnya diluluskan pada September tahun lalu.
Perolehan ini mengukuhkan lagi pasaran industri pertahanan Israel di Asia Tenggara yang semakin cenderung untuk mendapatkan teknologi negara berkenaan.
Filipina kini menjadi antara pelanggan utama Elbit Systems berdasarkan beberapa perolehanan yang dibuat sebelum ini.
Antaranya sistem udara tanpa pemandu Hermes 450, Hermes 900, Skylark LEX dan Skylark 3.
Filipina juga telah membeli kereta kebal ringan Sabrah ASCOD II, kenderaan armor Sabrah Pandur II dan sistem artileri mudah gerak 155mm ATMOS.
Sabrah dibina oleh Elbit Systems Land berkonsepkan modular pada kerangka kenderaan ASCOD bagi versi berunut atau kenderaan armor 8x8 Pandur II untuk versi beroda.
Pada Januari 2021, firma Elbit Systems Land telah mengumumkan kontrak berjumlah AS$170 juta bagi membekalkan kereta kebal ringan Sabrah kepada sebuah negara Asia yang tidak dinyatakan.
Filipina juga mengoperasikan sistem pertahanan udara SPYDER-MR buatan Israel menerusi perolehan bernilai AS$141 juta.
Dua bateri diterima pada November lalu manakala perolehan ketiga akan diterima tahun ini.
Filipina menjadi pengguna kedua sistem peluru berpandu SPYDER selepas Singapura dan Vietnam.
Perolehan pesawat LRPA ini juga menjadikan Filipina sebagai pengguna terbaru selepas Malaysia yang telah pun menandatangani kontrak pembelian dengan firma Leonardo bagi membekalkan dua platform ATR 72 MPA.
Kontrak ini dimeterai semasa Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi pada Mei lalu.
Pesawat pertama dijangka diterima pada 2026 manakala yang kedua setahun kemudian.
Selain itu, tiga pesawat CN235-220 milik Tentera Udara Diraja Malaysia juga telah diubah suai dengan konfigurasi MPA yang dilakukan oleh firma PT Dirgantara Indonesia.
Malaysia merancang untuk memperoleh enam buah pesawat MPA kesemuanya bagi menggantikan pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang telah berkhidmat sejak 1994. - DagangNews.com