KUALA LUMPUR 19 Jan - Firefly menawarkan pengalaman kabin baharu pada pesawat Boeing 737-800 syarikat itu, dilengkapi dengan tempat duduk unik dibina dengan kulit jenis upholsteri yang ringan.
Ia juga bagi mewujudkan suasana ruang kabin yang segar untuk menyediakan pelanggan keselesaan unggul dan dipertingkatkan sepanjang perjalanan mereka.
Kabin yang diperbaharui dengan 189 tempat duduk itu, kini tersedia di laluan terpilih dari hab Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke destinasi termasuk Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bharu, Langkawi, Phuket dan Banda Aceh.
Ia akan dilancarkan secara progresif merentasi rangkaiannya yang lebih luas dalam tempoh enam bulan akan datang.
Direka bentuk dengan mengambil kira keselesaan penumpang dan kemampanan, tempat duduk ergonomik baharu menawarkan ruang kaki lebih lebar dengan jarak tempat duduk 30 inci dan dimensi baring 4".
Tempat duduk dibina dengan kulit upholsteri ringan, akan menyumbang kepada jejak karbon yang lebih rendah dengan mengurangkan penggunaan bahan api pada pesawat.
Fungsi lain yang dinaik taraf termasuk pemegang peranti peribadi dan soket kuasa USB jenis A dan C untuk penumpang mengecas peranti mereka di setiap tempat duduk.
Selain reka bentuk kabin serba baharu, pelanggan yang menaiki Firefly akan mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan penerbangan berdasarkan keutamaan mereka, termasuk pelbagai pilihan tambahan untuk makanan dalam penerbangan, elaun bagasi, perlindungan perjalanan dan banyak lagi.
Firefly mengendalikan ATR72-500 dari Subang Skypark dan Boeing 737-800 dari hab baharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini serta tawaran terkini, layari laman web rasmi Firefly di www.fireflyz.com.my, muat turun aplikasi mudah alih daripada App Store atau Play Store, dan ikuti media sosial yang tersedia di Facebook dan Instagram. - DagangNews.com