Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov - Fitch Ratings menurunkan penarafan terbitan jangka panjang Serba Dinamik Holdings Bhd kepada "C" daripada "CCC-".
Fitch berkata ia juga telah menurunkan penarafan sukuk tidak bercagar kanan yang perlu dibayar pada Mei 2022 dan Mac 2025 kepada "C", daripada "CCC-", dengan Penarafan Pemulihan kekal pada "RR4".
Agensi penarafan itu berkata penurunan taraf itu berikutan pengesahan daripada Serba Dinamik bahawa ia telah terlepas pembayaran faedah bagi sukuk tidak bercagar kanan 2022 dan memasuki tempoh penangguhan 30 hari.
Ia berkata kegagalan untuk membuat pembayaran selepas tempoh tangguh akan menjadikannya lalai.
Fitch berkata faktor utama penarafan tersebut adalah tidak membayar faedah bon dengan Serba Dinamik tidak dapat memenuhi bayaran kupon separuh tahunan yang perlu dibayar pada 9 Nov 2021 bagi sukuk dolar AS yang matang pada Mei 2022 dan syarikat itu telah memasuki tempoh penangguhan 30 hari.
BACA JUGA: Mahkamah Tinggi tolak permohonan injuksi interim SerbaDinamik ke atas Bursa, E&Y
Semalam DagangNews melaporkan Serba Dinamik telah terlepas pembayaran kupon bagi sukuk bernilai AS$300 juta.
Kertas bon Islam itu merupakan sukuk tidak bercagar kanan tiga tahun dengan kadar keuntungan tahunan 6.3% yang perlu dibayar dua kali setahun dan akan matang pada 9 Mei tahun depan. Bayaran kupon yang perlu dibayar adalah kira-kira AS$9.45 juta (RM39.35 juta).
Difahamkan bahawa ketidaktepatan pembayaran itu belum lagi menjadi keingkaran kerana perjanjian bon termasuk tempoh 30 hari untuk pembayaran kupon dibuat dari tarikh tamat tempoh.
Sukuk AS$300 juta itu diterbitkan oleh SD International Sukuk Ltd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Serba Dinamik.-DagangNews.Com