Fizik dan elemen Asas Keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Fizik dan elemen Asas Keusahawanan

Oleh Syazuan Abd. Latip dan Khairul Imran Sainan

FIZIK adalah merupakan satu daripada cabang ilmu sains yang diistilahkan sebagai kajian terperinci terhadap sifat daya dan tenaga sesuatu jirim serta pergerakannya menerusi ruang dan masa.

 

Ilmu pengetahuan fizik turut mencakupi kefahaman dan perkaitan fenomena alam merujuk kepada perihal dan perilaku zarah yang bersifat seni merangkumi bidang ilmiah astronomi.

 

Bermula dengan ahli fizik klasik, Isaac Newton adalah merupakan salah seorang tokoh ilmuan yang telah menyumbang kepada penemuan teori graviti universal, diikuti oleh Galileo Galilei yang telah berjaya menemukan konsep heliocentrism dan prinsip Archimedes yang telah dihasilkan oleh Archimedes yang masih menjadi rujukan penting sehingga kini.

 

Begitu juga halnya dengan teori relativiti yang dicetuskan oleh salah seorang dari pemenang Hadiah Nobel terulung iaitu Albert Enstein yang telah dijadikan sebagai panduan dan rujukan asas kepada percambahan teori-teori fizik baru dan mekanik kuantum.

 

Tidak kurang hebat sumbangan dari para tokoh ilmuan fizik lain yang turut disegani seperti Nikola Tesla dan Stephen Hawking yang telah berjaya menyumbang kepada penghasilan reka bentuk sumber elektrik moden arus bergantian dan kefahaman terhadap radiasi lubang hitam melalui bidang kepakaran masing-masing.


 

Nikola Tesla

 


Dari sudut pandang kehebatan pencapaian para ilmuan fizik Islam pula, terdapat tokoh-tokoh fizik yang sangat masyhur dan bahkan dijadikan sebagai pakar rujuk utama seperti Abu Ali al-Hasan ibn al-Hasan ibn al-Haytham yang telah menemukan prinsip inersia dan statik serta Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni yang sangat terkenal dengan buku beliau yang bertajuk Qanun al-Mas’uddi yang sehingga kini dijadikan rujukan global berkaitan dengan bidang ilmiah astronomi.

 

Walaupun terdapat pelbagai cabang dan pecahan bidang, ilmu fizik boleh diklasifikasikan kepada bidang fizik atom molekul dan optik, nuklear dan fizik zarah, fizik jirim termampat, astrofizik dan bidang fizik gunaan.

 

Hal ini dengan jelas menunjukkan terdapat banyak ruang dan peluang untuk para pengkaji muda terutamanya mahasiswa dan mahasiswi untuk mengeksplorasi dan menggali nilai-nilai ilmu dari pelbagai cabang bidang fizik ini.

 

Ia bertujuan untuk penyelidikan dan pembangunan inovasi teknologi termaju yang bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada individu amnya, malahan kepada masyarakat serta negara secara kolektif khususnya.

 

Melihat dari perspektif fizik sebagai sebuah subjek, secara dasarnya ia telah digubal dan disesuaikan sebagai bahan kurikulum pengajaran dan pembelajaran bermula dari peringkat menengah rendah yang dikenali umum sebagai subjek atau mata pelajaran Sains dan seterusnya dikhususkan sebagai subjek Fizik di peringkat menengah atas bagi para pelajar dari aliran sains yang berada di tingkatan 4 dan 5.

 

Kesinambungan pembelajaran fizik turut difokuskan kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi/matrikulasi ataupun yang menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).  

 

Dari aspek kandungan silibus pengajaran dan pembelajaran fizik di peringkat Pusat Asasi UiTM secara khususnya, para pelajar dari kedua-dua aliran asasi sains dan kejuruteraan akan didedahkan terhadap konteks bidang ilmu fizik yang memfokuskan kepada sifat daya dan tenaga (mekanikal dan elektrikal), optik, magnet, dan asas nuklear sepanjang 2 semester (1 tahun) tempoh pengajian.


 

parafrasa

 


Keunikan ilmu fizik yang dipelajari oleh para pelajar dari kedua-dua aliran ini dapat dilihat dengan jelas bermula seawal semester pertama pengajian melalui tugasan berkumpulan yang menekankan kepada kemampuan pemikiran secara kreatif dan kritis untuk menghubungkait ilmu fizik yang dipelajari dengan bidang ilmu asas keusahawanan.

 

Antara objektif utama tugasan ini adalah menyasarkan kepada integrasi ilmu di antara cabang ilmu sains dan mencorak asas minda keusahawanan dalam kalangan para pelajar bermula dari awal peringkat pengajian di Pusat Asasi UiTM.

 

Lazimnya, keusahawanan dikaitkan dengan individu yang bertanggungjawab membentuk atau mewujudkan peluang perniagaan yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada dirinya serta masyarakat melalui sumber-sumber yang diperoleh di sekelilingnya pada kadar risiko yang telah dipertimbangkan.

 

Jika diteliti dari segi istilah dan konsep bidang ilmu fizik dan keusahawanan secara sepintas lalu akan terdapat jurang perbezaan definisi yang ketara di antara kedua-duanya.

 

Namun demikian, berteraskan kepada elemen keusahawanan yang menitik beratkan kepentingan hasil yang mendatangkan manfaat baik kepada individu ataupun masyarakat adalah merupakan tunjang dan asas terpenting yang dapat disepadukan bersama ilmu fizik bagi tujuan penghasilan ataupun idea inovasi produk bercirikan sains dan teknologi yang bersesuaian dan bertepatan dengan tahap silibus pembelajaran di peringkat asasi.

 

Menyedari akan kepentingan dan faedah yang bakal diperoleh dari tugasan berkumpulan ini, unit fizik Pusat Asasi UiTM telah pun menyediakan garis panduan dan rubrik sebagai rujukan asas para pelajar dan pensyarah terlibat berkaitan tugasan yang dikenali sebagai 'Entrepreneurial Mindset Assignment' bagi kod kursus PHY094-Physics Foundation I.

 

Melalui pendekatan integrasi ilmu yang telah dilaksanakan ini, beberapa impak yang sangat positif dapat dilihat dari segi melahirkan generasi pelajar yang memiliki cetusan minda usahawan muda yang dapat menilai kepentingan aplikasi cabang ilmu sains terhadap inovasi produk dan teknologi.

 

parafrasa

 

Ia bukan sahaja dapat memberikan kesan yang baik kepada masyarakat umum malahan menjana pemikiran bercirikan usahawan yang mementingkan nilai komersial terhadap inovasi yang dicadangkan atau dihasilkan.

 

Seiringan dengan itu, para pelajar turut didedahkan kepada kaedah pengiraan kos bagi tujuan memahami nilai jualan dan penjanaan keuntungan yang munasabah bagi cadangan produk yang dijual kepada golongan yang disasarkan.

 

Ia disertakan elemen penting yang lain seperti teori fizik yang dirujuk bagi inovasi produk yang dicadangkan dan dinyatakan dengan lengkap melalui pelaporan akhir yang akan disediakan oleh kumpulan pelajar untuk disemak oleh pensyarah yang mengajar.

 

Selain daripada kesan-kesan positif seperti yang telah dinyatakan, antara benih kebaikan lain yang secara tidak langsung dapat diterapkan adalah nilai tambah terhadap 'soft skill' para pelajar.

 

Penekanan dari aspek toleransi dan semangat bekerjasama secara berkumpulan bagi mencapai matlamat dan objektif tugasan antara perkara yang diutamakan dan hasilnya, sekaligus membina sifat kepimpinan dan jati diri yang mampan di dalam diri para pelajar bagi menyelesaikan apa jua cabaran yang mendatang.

 

 

parafrasa

 

 

Adalah menjadi impian dan harapan pada suatu hari kelak negara kita bakal melahirkan tokoh usahawan fizik moden yang bukan sahaja menyumbang terhadap pembangunan dan percambahan bidang ilmu fizik terkehadapan.

 

Malahan turut dikenali di seantero dunia sebagai usahawan melayu bumiputera yang mampu berdaya saing serta berjaya mencipta inovasi bagi tujuan yang murni terhadap kepentingan alam dan manusia sejagat seluruhnya. – DagangNews.com

 

Syazuan Abd. Latip adalah Pensyarah Kanan Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA, dan
Khairul Imran Sainan juga adalah Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA Shah Alam