FMM gesa kerajaan segera ratifikasi RCEP, CPTPP | DagangNews Skip to main content

FMM gesa kerajaan segera ratifikasi RCEP, CPTPP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 April - Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk segera meratifikasikan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi mengukuhkan semula rantaian bekalan sektor itu. 

 

FMM percaya kedua-dua perjanjian perdagangan serantau itu akan memberi sumbangan besar kepada pemulihan pasca pandemik pemain industri pembuatan, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang mampan, kata Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai. 

 

Ujar beliau, apabila kedua-dua perjanjian itu diratifikasikan, pengilang dijangka dapat memanfaatkan sumber import yang berpelbagai dari industri input dan komponen.

 

 Soh Thian Lai
Soh Thian Lai

 

“CPTPP memansuhkan hampir 96% daripada tarif produk yang memasuki perdagangan rentas serantau dan RCEP dijangka dapat meliputi kira-kira 90% daripada produk ini.

 

“FMM amat menyokong Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) memandangkan syarikat Malaysia akan menerima manfaat daripada sekatan perdagangan yang berkurangan untuk memudahkan akses pasaran lebih luas, norma perdagangan dan pelaburan yang sejajar dan harmoni untuk mengukuhkan rantaian bekalan serta mengukuhkan pertukaran dan kerjasama untuk meningkatkan aktiviti ekonomi,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Malaysia telah menandatangani CPTPP pada tahun 2018 dan seterusnya RCEP pada tahun 2020.

 

Ujar Thian Lai, FTA berkenaan juga akan melengkapkan satu sama lain berbanding bersaing, yang bakal mewujudkan satu kerangka kerja berstruktur untuk kerjasama bagi sektor pembuatan tempatan. 

 

Dalam pada itu, integrasi ekonomi serantau di bawah RCEP dan CPTPP akan membuka akses utama kepada pengeksport Malaysia untuk mengembangkan pasaran mereka merentasi Asia Pasifik, membolehkan peningkatan import bahan mentah dan semula jadi dari Amerika Latin serta Kanada.

 

“FMM menggesa kerajaan untuk mempercepatkan proses ratifikasi bagi RCEP dilaksanakan pada tahun ini untuk memberi manfaat kepada perniagaan pada waktu-waktu yang penting.

 

“Walaupun kami sedar tiada tarikh tamat bagi Malaysia melengkapkan proses domestik untuk meratifikasi CPTPP, namun FMM percaya bahawa ratifikasi CPTPP lebih awal akan memberi sumbangan besar kepada pemulihan Malaysia pasca COVID-19,” tambah beliau. - DagangNews.com