KUALA LUMPUR 23 Dis - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mempertahankan pendiriannya bahawa hanya agensi tunggal diperlukan bagi mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing.
Usaha menerusi sistem dalam talian tunggal turut menjadi kunci bagi memastikan ketelusan serta kecekapan sistem selain dapat memulihkan keyakinan pelabur.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan pengasingan usaha pengurusan pekerja asing antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Keseluruhan usaha pemprosesan permintaan pekerja itu perlu dikendalikan oleh KSM manakala KDN sebaliknya perlu menumpukan isu berkaitan keselamatan, pengeluaran visa dan langkah kawalan sempadan sebagaimana dilakukan oleh negara-negara lain yang turut bergantung kepada pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan keputusan untuk memindahkan Pusat Sehenti (OSC) pengambilan pekerja asing kembali ke KDN manakala Sistem Satu Saluran (OCS) bagi pengambilan pembantu rumah kekal di bawah bidang kuasa KSM.
FMM berkata, sistem dalam talian tunggal akan memastikan pelaksanaan dasar yang diselaraskan selain dapat menghapuskan pertindihan proses serta prosedur berkaitan.
Katanya, ini juga dapat memastikan hanya satu pusat pangkalan data pekerja asing dikekalkan yang boleh dikongsi dengan semua pihak berkuasa dan agensi terbabit.
Malah, ini lebih cekap berbanding dengan pelaksanaan pelbagai sistem serta pangkalan data bagi peringkat proses permohonan oleh kementerian/agensi berbeza yang memerlukan majikan mengemukakan data serta kebenaran pekerja kepada pelbagai pihak berkenaan.
“Cara ini juga dapat memastikan komunikasi yang lebih lancar dan pantas...isu-isu terbabit dapat diselesaikan cepat kerana majikan hanya berurusan dengan satu agensi dan sistem.
“Ia turut menghapuskan keperluan untuk melantik pihak ketiga sebagai penyedia perkhidmatan terbabit di dalam negara serta di negara sumber untuk mengendalikan pelbagai segmen/proses dalam pengambilan pekerja asing,” katanya.
FMM berkata, pada masa sama, tindakan sedemikian dapat menghapuskan kuasa budi bicara agensi dan pegawai yang mengendalikan permohonan selain mengelak sebarang cubaan penyalahgunaan dasar awam.
“Tindakan memperkemas pelbagai permohonan ke dalam satu sistem tunggal akan turut mengurangkan kos di pihak majikan,” katanya. - DagangNews.com